Istilah dan Sejarah
Dari segi istilah, perkataan hijrah berakar daripada kata bahasa Arab ha-ja-ra bermaksud “berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain” atau “berpindah dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik”. Dalam al-Qur`an, di antara ayat-ayat yang mengandung kata hijrah ialah surah al-Muddaththir, surah al-Ankabut, surah al-Muzzammil dan an-Nisa’.
Antara makna hijrah yang terkandung dalam ayat-ayat di atas ialah meninggalkan perbuatan dosa sebagaimana dalam surah al-Muddaththir ayat 5 “dan tinggalkanlah segala perbuatan dosa”. Hijrah juga adalah suatu usaha yang dilakukan kerana menunaikan perintah Allah. Ini dapat dijelaskan dalam surah al-Ankabut ayat 26 di mana “Nabi Ibrahim berkata: Sesungguhnya aku akan berpindah ke tempat yang diperintahkan oleh Tuhan”.
Ia juga bermaksud menjauhi persekitaran yang tidak baik, melalui uzlah pemikiran dan kerohanian dengan cara yang bijaksana, sebagaimana dalam surah al-Muzzammil ayat 10 “dan bersabarlah terhadap apa yang mereka (orang kafir) ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik”.
Hijrah juga merujuk peringatan Allah kepada kaum muslimin bahawa orang kafir sentiasa berusaha menjadikan kaum muslimin bergantung kepada mereka dan menjalani kehidupan seperti mereka. Dalam surah an-Nisa’ ayat 89 bermaksud:
“Mereka (orang kafir) ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, sehingga kamu akan menjadi sama seperti mereka. Maka janganlah kamu menjadikan mereka sebagai penolongmu hingga mereka berhijrah pada jalan Allah”.
Berdasarkan sifat dan keistimewaan bahasa Arab bahawa setiap terbitan perkataan dari satu kata akar memiliki kesejajaran makna, maka makna-makna yang telah disebutkan dalam ayat-ayat di atas seharusnya memberi kefahaman yang lebih menyeluruh terhadap makna hijrah.
Hijrah dalam erti kata perpindahan Nabi berlaku tiga kali, pertama hijrah dari Mekah ke Habshah pada tahun 615M, kedua juga dari Mekah ke Habshah pada tahun 617M, dan ketiga dari Mekah ke Yathrib pada tahun 622M. Dari segi sejarah, hijrah yang ketiga inilah yang dirujuk sebagai hijrah sebenar iaitu peristiwa mulia perpindahan Nabi Muhammad salla’ Llahu alayhi wa sallam (S.A.W) dari Mekah ke Yathrib yang berlaku tepatnya pada 24 September 622M.
Kekeliruan Istilah
Berbalik kepada pengertian hijrah, penggunaan istilah hijrah kini, sama ada disedari atau tidak, kerap kali digunakan dalam konteks yang tidak tepat. Misalnya, kita selalu mendengar “Penduduk berhijrah dari kampung ke bandar, “Burung-burung itu berhijrah”, dan sebagainya. Kerap kali juga hijrah dikaitkan dengan perubahan sikap seperti rajin, berdisiplin dan produktif. Sementara ia terangkum dalam makna hijrah juga, adalah tidak wajar menyempitkan makna hijrah. Peristiwa hijrah Nabi yang mulia itu sememangnya boleh juga dilihat dari berbagai perspektif khususnya dari sudut perancangan strategik yang mengambil kira segala kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman. Bermula dari raison d’ etrinya, espri de corp hingga pelaksanaan modus operandi yang sungguh mencemaskan, ia adalah satu contoh amali yang relevan sepanjang zaman. Kejayaannya adalah hasil sokongan dan dokongan golongan remaja-belia yang diwakili oleh Sayyidina Ali Abu Talib, golongan dewasa diwakili oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, golongan korporat diwakili oleh Abdul Rahman `Auf, golongan wanita diwakili oleh Asma’ Abu Bakar malah non-muslim yang diwakili oleh Abdullah Uraiqit sebagai penunjuk jalan.
Implikasi Hijrah
Bagaimanapun, selain melihat babak dan aksi dramatik dalam peristiwa tersebut, yang lebih utama lagi ialah merenung dan memikirkan misi besar hijrah itu sendiri. Peri pentingnya peristiwa hijrah sebagai pemula “zaman baru” dalam sejarah Islam, Sayyidina Umar al-Khaththab menetapkan takwim kaum muslimin bermula dengan Hijrah an-Nabiy itu. Hijrah yang didorong oleh niat kerana Allah S.W.T semata-mata telah berjaya membina peribadi berjiwa tawhid dan merdeka, sanggup berkorban dan berjihad, berbudaya ilmu dan berakhlak mulia, manakala sistem kenegaraan dan kehidupan bermasyarakat yang terbina selepas peristiwa itu menjadi model paling unggul dalam sejarah berdasarkan amalan keadilan pemerintahan, persamaan hak, persaudaraan hakiki dan hubungan muhibbah antara agama dan suku kaum. Selanjutnya peristiwa hijrah telah membawa akibat besar dalam sejarah penyebaran dakwah Islam yang berkembang begitu pantas dari Madinah ke seluruh Semenanjung Tanah Arab, ke benua Eropah, Afrika, Indo-Pakistan, China dan Alam Melayu.
Hijrah, Faham Agama dan Perjanjian Asali
Apakah hubungan hijrah dengan faham agama (al-din) dan Perjanjian Asali? Pengakuan bahawa telah berlaku perubahan besar selepas hijrah dapat dilihat dengan jelas apabila Nabi menukar nama Yathrib kepada al-Madinah yang bererti Kota Raya – lebih tepat lagi al-Madinatu’l-Nabiy (Kota Raya Nabi). Sebagaimana dihujahkan dengan penuh ilmiah oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak, faham agama atau al-din (yang berasal dari akar-kata Arab DYN) dan faham madinah yang terbentuk darinya mempunyai perkaitan yang mendalam sekali gus menayangkan maksud yang sangat bermakna. Di
Sesungguhnya kefahaman yang tepat mengenai din dapat mengingatkan insan kepada keadaan mereka sebelum mereka dijadikan di alam dunia. Diri insan sebenarnya sudah mengaku bertuhankan Allah sejak di alam roh menerusi Perjanjian Asali sebagaimana firman-Nya dalam surah al-A’raf ayat 172 yang bermaksud “Dan apabila Tuhanmu mengeluarkan daripada Anak Adam – daripada tubuhnya – zuriatnya dan menyuruhnya mengangkat saksi terhadap dirinya dengan berkata: Bukankah Aku Tuhan kamu?’ Maka mereka (menjawab) berkata: ‘Ya! Kami saksikan!’ Perjanjian ini membawa kepada kefahaman yang lebih penting mengenai hakikat insan dan hubungannya dengan agama iaitu setiap insan sebenarnya lahir dalam keadaan telah berjanji dengan Tuhan mengenai rububiyyah Allah. Dengan kata lain insan datang dalam keadaan berhutang yang digambarkan melalui kalimah al-dayn yang berakarkan kalimah yang sama dengan al-din.
Untuk memeterai perjanjian itu di alam dunia, insan perlu mengembalikan dirinya kepada Tuhan sebagai balasan perhutangannya dengan Tuhan. Ini dilakukan dengan mengamalkan Islam sebagai al-din dalam segenap aspek kehidupannya. Islam bererti penyerahan yang disedari, diredhai dengan penuh taat mengikut cara-kaedah yang disyariatkan dan diturunkan kepada Rasulullah S.A.W menerusi wahyu. Inilah yang digambarkan melalui perkataan al-Islam yang bermaksud penyerahan diri yang sepenuhnya kepada Tuhan. Diri insan yang Islam sesudah mengucap shahadat (bersaksi) sama seperti dilakukannya di alam roh dulu, yang terbina peribadi Islam akan membentuk keluarga Islam, masyarakat Islam dan seterusnya daulah Islam. Diri insan adalah tamsil ibarat sebuah Kerajaan; padanya terdapat hati (Raja), akal (Perdana Menteri), anggota tubuh (kementerian dan jabatan serta agensinya). Diri insan, jika mengalami hijrah adalah sebuah madinah. Jelas sekali peristiwa hijrah ini berkait rapat dengan perkara rohaniah yang berintisarikan din (agama) dan berhubung langsung dengan Perjanjian Asali.
Hijrah Masa Kini
Dalam konteks alam Melayu, hijrah sebenar telah berlaku sejak kedatangan Islam ke Asia Tenggara. Proses Islamisasi telah berjalan dan secara bertahap telah menyingkirkan segala adat resam, kebiasaan dan tradisi batil. Hijrah masa kini bererti merangsang proses tersebut agar berterusan bagi mencapai kebenaran dan keselamatan diri. Ini disebabkan masyarakat belum terbebas sepenuhnya daripada kemunduran iaitu segala tahyul, khurafat, karut dan jiwa hamba.
Cabaran Generasi Muda
Gerakan Islam berkewajipan memainkan peranan penting bukan setakat mengajak masyarakat untuk bersama-sama memperingati peristiwa hijrah tetapi lebih penting lagi mengajak generasi muda mengamali segala yang telah ditunjuk oleh Rasulullah S.A.W sebagai suri tauladan agung baik sebelum, semasa atau selepas peristiwa hijrah itu. Gerakan Islam punya amanah besar untuk menegakkan yang makruf, mencegah yang mungkar, melakukan pengislahan dan membanteras segala kefasadan yang kerap berlindung di sebalik tabir “pembangunan, perubahan dan kemajuan”.
Dalam konteks lebih luas, hijrah generasi muda bererti berpindah daripada kejahiliahan kepada keIslaman, daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kesesatan kepada hidayah, daripada kekafiran kepada keimanan, daripada syirik kepada tawhid, daripada kebatilan kepada kebenaran, daripada kejahilan kepada keilmuan, dari pada kepalsuan kepada kebenaran, daripada kehinaan kepada kemuliaan, dan daripada kemungkaran kepada kemakrufan. Dengan kata lain, aspek hijrah yang penting ialah yang berasaskan ilmu.
Antara cabaran terbesar kepada generasi muda adalah cabaran sekularisasi iaitu usaha untuk memisahkan aspek ruhaniah dari dalam diri manusia yang menjelma dalam pelbagai bentuk kefahaman seperti kapitalisme, hedonisme, globalisasi dan sebagainya yang menjadi musuh kepada kehidupan beragama serta menjadikan mereka sasaran utama.
Generasi muda harus segera diselamatkan daripada terjebak dosa dan kebejatan akhlak (seperti ketagihan dadah, mencuri, berjudi, minum arak dan berzina) dan diperkasakan akal budi dengan penguasaan ilmu yang benar mengenai Islam sebagai prasyarat membuat kesedaran dan pengislahan selaras dengan erti sebenar hijrah. Jika generasi muda sendiri memiliki kesedaran ini serta bersedia untuk berhijrah, insha’Allah banyak pencapaian besar boleh dibuat, menepati erti sebenar hijrah dari sudut istilah, sejarah dan maknawi.
Muddin Beting
Yang Dipertua
ABIM Sabah