Peranan Pertubuhan Sukarela Islam (PSI) Dalam Mengisi Ruang Kemerdekaan Di Negeri Sabah
Kertas kerja ini dibentang dalam Seminar "Sabah Setelah 50 Tahun Malaysia Merdeka" anjuran bersama Universiti Teknologi MARA Kota Kinabalu, Kerajaan Negeri Sabah, INTAN Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada 4 - 5 September 2007
Oleh
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
Universiti Teknologi MARA
Shah Alam
Muddin Beting
Jabatan Pelajaran Negeri Sabah
Abstrak
Bagi pertubuhan sukarela yang berorientasikan agama Islam, ia dikenali juga sebagai Pertubuhan Sukarela Islam (PSI). Peranan PSI dalam proses pembinaan negara bangsa boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pertama, PSI yang mempunyai single mindness of purpose atau matlamat khusus, kedua, PSI yang berteraskan program yang menyalurkan khidmat kebajikan dan penerangan mengenai Islam secara menyeluruh dan ketiga, PSI yang berteraskan massa yang bertujuan memperjuangkan cita-cita Islamiyyah secara bersepadu berdasarkan kesedaran Islam yang menyeluruh.
Segenap sektor masyarakat terlibat menyumbang terhadap proses pembinaan negara bangsa semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957 dan juga semenjak Sabah berada di dalam Malaysia 44 tahun yang lalu. Sektor-sektor tersebut mewakili kumpulan kaum, gerakan pekerja, budayawan, warga pendidik, agensi media, pertubuhan agama dan pergerakan belia dan pelajar. Mereka merupakan antara kumpulan teras dalam masyarakat sivil yang terbentuk berasaskan idealisme dan kepentingan pelbagai sejajar dengan fitrah kerencaman citra bangsa Malaysia.
Sektor-sektor ini menggunakan dua wadah utama yang diiktiraf oleh undang-undang negara sebagai saluran bagi tujuan menyampaikan pandangan dan sikap terhadap isu-isu kemasyarakatan dan kenegaraan iaitu pertama, parti politik dan kedua, pertubuhan sukarela. Di negara ini, pertubuhan sukarela dikenali sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Setiap perkumpulan masyarakat berhak menubuhkan pertubuhan sukarela bagi memperjuangkan pegangan, cita-cita dan kebudayaan yang menjadi identiti kumpulan. Oleh kerana itu, orientasi pertubuhan sukarela bersifat pelbagai meliputi kepentingan kaum dan agama atau bersifat khidmat sosial.
Kertas kerja ini akan mengemukakan peranan yang dimainkan oleh Pertubuhan Sukarela Islam di negeri Sabah semenjak 44 tahun Sabah berada dalam Malaysia dengan menumpukan perhatian kepada peranan yang dimainkan oleh USIA dan ABIM Sabah. Perkembangan dakwah tersebut akan cuba dihuraikan berasaskan kepada pembahagian mengikut dekad iaitu 1960-an, 1970-an, 1980-an, 1990-an dan perkembangan di alaf baru.
Pertubuhan dakwah seperti USIA dan ABIM adalah sebuah pertubuhan sukarela Islam yang ditubuhkan berasaskan aspirasi agama. Falsafah kebanyakkan pertubuhan dakwah ini ialah untuk merealisasikan cita-cita Islamiyah dalam segenap aspek dan struktur dalam sistem kemasyarakatan dan ketatanegaraan. Ia merujuk kepada cita-cita menjadikan dasar kerohanian Islam dan nilai-nilai utamanya yang bersifat universal tercerna di dalam seluruh ruang dan dimensi kehidupan meliputi minda, akhlak dan sistem. Perjuangan ini adalah satu aspirasi yang terbit dari penghayatan makna yang hakiki terhadap pengertian Islam sebagai satu `nizam al-hayat’ – satu cara hidup yang syumul, lengkap dan sempurna atau a way of life.
Bagi tujuan mencapai cita-cita tersebut, ia menuntut satu proses yang bersifat massa iaitu penggembelingan seluruh elemen yang menjadi entiti utama sebuah bangsa dan negara. Massa dalam pengertian ini merujuk khusus kepada individu-individu atau entiti insan yang merupakan teras utama yang membentuk dan menggerakkan sistem kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan dalam struktur kehidupan. Insan sebagai warga harus berinteraksi dengan entiti-entiti lain termasuk sejarah, budi dan nusa sebagai elemen pelengkap kesempurnaan sebuah peradaban yang dikenal sebagai Negara bangsa. (Siddiq Fadzil : 2003)
Bagi kebanyakan pertubuhan dakwah, Islam ialah acuan terbaik yang perlu dijadikan landasan utama bagi pembinaan negara bangsa. Ia diasaskan pada keyakinan terhadap kesyumulan dasar kerohanian Islam dan kedinamikan prinsip nilainya dalam memberi pentafsiran terhadap kerencaman sesuatu latar budaya sesebuah masyarakat. Dalam kata lain, pertubuhan dakwah ini berkeyakinan bahawa jati diri negara bangsa Malaysia akan lebih utuh, dinamik dan berdaya saing sekiranya dasar dan prinsip utama ajaran Islam dapat dijelmakan secara praktik dalam sistem dan tatacara kenegaraan.
Namun, penjelmaan cita-cita Islamiyah secara praktik dalam satu sistem kenegaraan yang luas dan kompleks menuntut pertubuhan dakwah untuk berinteraksi secara dinamik dan kreatif dengan latar sejarah dan sosial masyarakat Malaysia. Ini memandangkan, penjelmaan cita-cita Islamiyah tidak mungkin tercapai sekiranya ia dibina dari luar ruang sosial masyarakat setempat. Untuk itu, tahap kesediaan yang diukur dari segi kualiti kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap cita-cita tersebut, sikap dan pendirian pemimpin-pemimpin politik, institusi pentadbiran, prasarana pendidikan serta penggerak Islam sendiri. Kesemua ini adalah cabaran yang berupa hambatan-hambatan yang perlu didepani oleh pertubuhan dakwah dalam rangka menjayakan cita-cita dan aspirasi perjuangannya. (Shaharuddin Badaruddin et. al. : 2004, ms. 449).
2. Sejarah Awal Pertubuhan Sukarela Islam di Malaysia Semenjak Kemerdekaan dan Peranan yang Dimainkan.
Pada sekitar akhir 1960-an dan awal 1970-an semasa kebanyakan pertubuhan dakwah mula ditubuhkan secara rasmi, struktur masyarakat Malaysia berada dalam keadaan yang rapuh. Negara baru sahaja mengalami pergolakan kaum yang diingati sebagai Tragedi Berdarah 13 Mei 1969. Ia adalah antara kesan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat dari dasar-dasar penjajahan yang diamalkan oleh British.
Antara kesan lain yang ditinggalkan penjajah ialah pemikiran dualisme yang membentuk kerangka berfikir masyarakat Malaysia. Pemikiran ini yang diasaskan dari faham sekularisasi telah memberi impak yang besar terutama kepada umat Melayu dalam menanggapi agama Islam yang dianutinya. Islam sebagai satu agama yang berpengaruh dalam segenap aspek kehidupan masyarakat sebelum kedatangan penjajah telah terpinggir sebagai agama yang berfungsi bagi tujuan-tujuan peribadi yang bersifat ritual serta bagi memenuhi tuntutan adat istiadat pada acara-acara keraian. Islam telah ditanggapi secara sempit dan tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam membentuk dan mempengaruhi sistem dan tatacara kehidupan bermasyarakat dan bernegara dalam pengertian dan maksud yang lebih luas.
Proses sekularisasi tidak sahaja telah memecahkan kerangka berfikir masyarakat malah terjelma dalam sistem dan struktur pemerintahan. Bidang pendidikan mendapat kesan yang paling parah apabila di negara ini terbentuk dua aliran pendidikan yang dikenali sebagai pendidikan aliran agama dan pendidikan aliran kebangsaan. Kedua aliran ini menggunakan kurikulum pengajian yang berbeza memandangkan produk generasi yang ingin dilahirkan bagi tujuan mengisi sistem dan struktur dualisme yang diwarisi.
Implikasi sekularisasi juga telah mengikis jati diri umat Islam terhadap tradisi dan sejarah peradaban Islam sebagai satu tamadun yang unggul di pentas sejarah dunia. Akibatnya umat Islam mudah terhimbau dengan pesona idea dan model yang dikembangkan oleh tamadun Barat. Makna dan kemajuan didasarkan kepada citra masyarakat Barat dan untuk itu, umat Melayu-Islam secara khusus digalakkan untuk menjadikan tokoh dan masyarakat barat sebagai idola dan model bagi mencapai kemajuan memandangkan Barat dianggap sebagai penggerak kepada kehidupan yang lebih moden.
Pemikiran ini tidak sekadar dihayati oleh rakyat terbanyak malah beberapa tokoh dan pemimpin utama negara pada ketika itu. Oleh kerana itu, idea-idea dan citra kehidupan Barat berkembang dengan amat pesat di negara ini dan manifestasinya dapat dilihat dalam kurikulum pengajian, fesyen dan hiburan. Dalam kata lain, walaupun sebahagian besar umat Melayu di negara ini beragama Islam, namun kebudayaan Barat menjadi satu amalan yang dominan dalam kehidupan mereka.
Dalam berdepan dengan latar sosial yang diwarisi oleh penjajah ini, USIA dan ABIM memulakan langkah dalam rangka memperjuangkan cita-cita Islamiyahnya menerusi proses yang dikenal sebagai agenda pembudayaan Islam. Ia digubal atas kesedaran bahawa cita-cita bagi merealisasikan Islam dalam segenap sistem kehidupan memerlukan suatu pembudayaan baru masyarakat berteraskan dasar, prinsip dan nilai ajaran kerohanian Islam yang bersifat syumul, dinamik dan sejagat. Agenda pembudayaan Islam tertumpu kepada usaha pemurnian pandangan hidup, perubahan sikap, keyakinan dan jati diri, dan pembinaan akhlak umat Islam serta penciptaan dan pengukuhan model-model Islam dalam pelbagai bidang dan sistem kehidupan yang praktik meliputi seluruh dimensi ketamadunan. (Shaharuddin Badaruddin et. al. : 2004, ms. 450).
3. Sejarah Perkembangan Islam di Sabah
Akar kepada masa kini adalah masa lalu. Oleh itu wajar ditinjau sepintas lalu sejarah lampau bagi mendapatkan latar kepada apa yang berlaku pada hari ini. Dalam konteks negeri Sabah, sejarahnya tidak dapat dipisahkan daripada sejarah Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu kerana kedua-dua kerajaan inilah pemilik awal bumi Sabah. Kedua-dua kerajaan ini pula merupakan sebahagian daripada rangkaian kerajaan-kerajaan Islam yang wujud di Kepulauan Melayu. (James P. Ongkili : 1972, Mokhtar Ramli: 2002)
Ada pendapat menyebut bahawa agama Islam dipercayai sampai ke beberapa kawasan berhampiran Sabah kira-kira abad ke-10, manakala pendapat lain menyebut sekurang-kurang pada abad ke-11 dan ke-12. Namun sumber yang dapat diterima menunjukkan Islam hanya mula diterima penduduk tempatan Sabah pada abad ke 15 dengan wujudnya manuskrip asal bertulisan Jawi dalam bahasa Idahan di Lahad Datu yang bertarikh 1408M. Sejak itu Islamlah yang membentuk sejarah kebangunan dan tamadun umat di Sabah. (Muhiddin Yusin : 1990)
Kuasa Barat datang secara rasmi di Sabah pada tahun 1881. Namun kehadiran kuasa penjajah bermula lebih awal iaitu pada tahun 1761 di Pulau Balambangan, Kudat. Penjajahan sebagai satu usaha terancang Barat membawa misi 3G (gold, gospel, glory), juga disebut misi “Gun and Oinment”, adalah lanjutan Perang Salib. Bagi penduduk tempatan, khususnya beragama Islam, kedatangan penjajah merupakan satu ancaman terhadap agama, bangsa dan tanah air. (Muddin Beting : 2002)
Kesedaran dan keinsafan terhadap amanah memelihara kesucian dan ketinggian Islam serta membebaskan umatnya daripada belenggu penjajahan telah melahirkan dua bentuk perjuangan. Pertama, menghalau penjajah melalui perjuangan bersenjata. Perjuangan ini jelas dapat disaksikan dengan siri penentangan bermula tahun 1775 hingga tahun 1915, di antaranya yang terkenal ialah Datu Tating, Datu Baginda Putih, Pengiran Syahbandar Hassan, Haji Saman, Syarif Osman, Mat Salleh, Pak Musa selain Embo’ Ali dan lain-lain. Kedua, perjuangan melalui penubuhan persatuan sosial dan agama yang bermula pada tahun 1940-an. (Muhiddin Yusin : 1990)
Kesedaran berpersatuan dalam kalangan masyarakat Islam ditandai seawalnya pada tahun 1890-an dengan penubuhan sebuah persatuan Islam yang dikatakan berjaya membangkit dan mengekalkan kesedaran tentang Islam sehingga abad ke-20. Pada akhir tahun 1930-an, dicatatkan cuma ada satu sahaja persatuan iaitu Persatuan Sahabat Pena Malaya (PSPM). Kemudian pada tahun 1946, muncul Parti Barisan Pemuda (BARIP) pimpinan Mandur Syarif di Jesselton. Selepas itu lahir Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Tengku Nuruddin di Labuan, kemudian PKMM di Jesselton, diikuti dengan Khairat Jumaat Muslimin (KJM) pimpinan Haji Suhaili. Pada tahun 1950-an hingga 1960-an, hasil pengaruh semangat keislaman dari Tanah Melayu dan Singapura, muncul Persatuan Ikhwan Muslimin (PIM). Menjelang Kemerdekaan menerusi Malaysia, muncul pula Persatuan Islam Putatan (PIP) pimpinan Awang Sahari Abdul Latif, Persatuan Islam Sabah (PIS) berpusat di Kota Kinabalu pimpinan Haji Yusuf Shamsuddin dan Persatuan Islam Tawau (PIT) pimpinan Abu Bakar Titingan. Dalam satu pertemuan di antara wakil-wakil PIP, PIS dan PIP dengan Tun Datu Mustapha pada awal tahun 1969, persetujuan dicapai agar semua persatuan Islam di seluruh Sabah dibubarkan dan kemudiannya melahirkan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). (Hairi Abdullah et. al. :1986)
Selepas penubuhan USIA, berbagai pertubuhan sukarela lain telah muncul, di antaranya Jamaah Tabligh, Darul Arqam dan ABIM yang berpunca dari Semenanjung manakala penubuhan Persatuan Pelajar-pelajar Islam Sabah (PERPIS) dan Angkatan Belia Islam Sabah (AKBIS) adalah berasaskan negeri Sabah. Kelahiran dan kehadiran pertubuhan sukarela Islam (PSI) terus bertambah dari tahun ke tahun, di antaranya Jamaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Persatuan Siswazah Islam Sabah, Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan persatuan-persatuan suku kaum Islam.
4. Pertubuhan Sukarela Islam di Sabah – Fasa Perkembangan
Fasa perkembangan kegiatan berpersatuan di Sabah dapat dibahagikan kepada tiga tahap. Pertama, tahap pertumbuhan kesedaran berpersatuan (tahun 1930-an hingga awal 1940-an), kedua tahap pengukuhan (tahun 1940-an hingga 1950-an) dan ketiganya tahap ke arah kematangan (awal tahun 1960-an). Secara keseluruhannya, kegiatan PSI telah merubah pendekatan dakwah di Sabah yang sebelum itu dijalankan oleh orang perseorangan.
Peranan PSI dapat dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, PSI yang mempunyai single mindness of purpose atau matlamat khusus, kedua, PSI yang berteraskan program yang menyalurkan khidmat kebajikan dan penerangan mengenai Islam secara menyeluruh dan ketiga, PSI yang berteraskan massa yang bertujuan memperjuangkan cita-cita Islamiyah secara bersepadu berdasarkan kesedaran Islam yang menyeluruh. Dalam konteks Sabah, penubuhan PSI yang dibincangkan nanti menjuruskan kepada salah satu daripada tiga kategori tersebut.
Faktor Kerajaan Dalam Mempengaruhi Kegiatan PSI
Faktor penting yang mempengaruhi kegiatan PSI di Sabah ialah faktor kerajaan yang memerintah. Sejak merdeka 44 tahun lalu, negeri Sabah telah diperintah oleh empat buah kerajaan – Perikatan (1963 - 1967, 1967 – 1976), BERJAYA (1976 – 1985), Parti Bersatu Sabah (1956 - 1994), dan Barisan Nasional ditunjangi UMNO (1994 - sekarang). Setiap Kerajaan yang memerintah mempunyai dasar dan program tertentu terhadap kegiatan dakwah yang turut memberi kesan kepada perjuangan PSI.
Kerajaan Perikatan
Kerajaan Perikatan 1967 – 1976 pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun, seorang pemimpin berkarismatik, berwawasan, memiliki semangat dan cita-cita untuk mendaulatkan Islam di negeri Sabah serta ingin menyatupadukan masyarakat Sabah memperlihatkan kejayaan paling besar dalam kegiatan dakwah menerusi USIA. Di antara tahun 1971 hingga tahun 1975, dicatatkan bahawa USIA mengadakan 12 majlis pengislaman besar-besaran yang melibatkan di antara 50 000 orang saudara baru. Dicatatkan juga bahawa dalam era ini muncul Persatuan Pelajar Islam Sabah (PERPIS) pada tahun 1975 dan Angkatan Belia Islam Sabah (AKBIS) pada tahun 1976. (Muhiddin Yusin:1990).
Kerajaan BERJAYA
Sebaliknya Kerajaan BERJAYA, sebuah parti multi-racial pimpinan Datuk Harris Salleh yang disokong oleh pengundi Kristian sekalipun tetap memberi perhatian terhadap perkembangan dakwah Islam, namun terpaksa bersikap berhati-hati dalam menyokong kegiatan dakwah oleh PSI kerana takut kehilangan sokongan masyarakat bukan Islam. Hal ini jelas dapat diperhatikan dalam kes USIA dan ABIM Sabah. Kerajaan Berjaya, menerusi MUIS tidak lagi memberi peruntukan kewangan secara langsung kepada USIA sebagaimana sebelumnya. USIA dilihat mempunyai hubungan amat kuat dengan parti USNO yang dikalahkannya pada tahun 1976, membiarkan USIA kuat bererti membahayakan parti BERJAYA. Maka Datuk Harris menyekat peruntuhan kewangan MUIS kepada USIA dan pada masa yang sama cuba menandingi program pengislaman beramai-ramai USIA dengan harapan dapat menarik sokongan masyarakat Islam. Sikap keras Datuk Harris terhadap ABIM pula dilihat jelas sekali apabila Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, exco ABIM Pusat yang berkhidmat sebagai pensyarah di ITM, dihalau keluar dari Sabah dalam tempoh 24 jam kerana dikhuatiri kegiatan dakwahnya berpotensi membahayakan Kerajaan BERJAYA. (Muddin Beting : 2002, Sainuri Yahmin: 2006)
Kedatangan penjajah telah menjerumuskan negeri Sabah kepada medan pertembungan antara gerakan dakwah Islam dan gerakan Kristianisasi. Dalam hal ini Kerajaan BERJAYA terpaksa memenuhi tuntutan masyarakat Kristian apabila membuat perjanjian dengan Sabah Injil Borneo (SIB) agar Kristian dan penganutnya diberi kebebasan bergerak di Sabah, selain membuat Memorandum Persefahaman dengan Summer Institute of Linguistic (SIL) pada tahun 1977, yang sebelumnya telah ditolak beberapa kali oleh Kerajaan USNO. (Mat Zin Mat Kib: 2003). Secara umumnya perkembangan agama Kristian dalam era pemerintahan BERJAYA bertambah pesat, sementara gerakan dakwah USIA walaupun tidak disekat, ia tidak lagi sepesat era Kerajaan Perikatan.
Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS)
Kerajaan PBS walaupun mendakwa sebuah parti berbilang kaum, sebenarnya adalah didominasi oleh pengundi Kadazandusun beragama Kristian, maka sokongan dan bantuan terhadap kegiatan penganut Kristian begitu ketara. Selain mendapat peruntukan dari luar negeri, Kerajaan PBS juga mengadakan peruntukan khas untuk “Perkembangan Badan-badan Keagamaan Bukan Islam”. Kerajaan PBS juga mengiktiraf hasil kerja SIL dengan menghasilkan penerbitan kamus dalam bahasa Dusun-Kadazan, selain memberi laluan kepada penubuhan Seminari Teologi Sabah pada tahun 1988 dan kelulusan beroperasi kepada The Salvation Army pada tahun 1986. (Mat Zin Mat Kib: 2003)
Pada ketika ini PSI memainkan peranan membentengi kepentingan dan kedaulatan Islam dan masyarakatnya akibat dasar Kerajaan PBS yang mengabaikan kepentingan masyarakat Islam sebagai masyarakat terbesar di Sabah. Sebagai contoh, PSI menyuarakan bantahan terhadap cadangan menutup SMA Toh Puan Rahmah, isu berkaitan Enakmen Hukum Syarak (Pindaan) 1977 dan penyelewengan dalam MUIS.
Kerajaan Barisan Nasional
Perjuangan untuk mengembalikan kuasa pemerintahan kepada orang Islam bagi membela umat Islam di negeri ini berhasil pada tahun 1994. Sungguhpun Kerajaan Barisan Nasional ditunjangi UMNO, namun kerajaan tetap meneruskan peruntukan khas “Perkembangan Badan-badan Keagamaan Bukan Islam” bahkan meningkatkan jumlahnya kepada RM20 juta berbanding RM12 juta pada tahun 1986, RM 15 juta pada tahun 1990 demi keharmonian dan keadilan. Keadaan politik yang kembali stabil membolehkan gerakan dakwah Islam berjalan lancar. MUIS yang tertubuh hasil perjuangan USIA kemudiannya melahirkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), sementara MUIS sendiri masih kekal dengan fungsi tersendiri. Kerajaan Barisan Nasional juga, menerusi MUIS dan JHEAINS, menubuhkan Jawatankuasa Dakwah Bersepadu Negeri Sabah, Jawatankuasa Penyelarasan Dakwah yang melibatkan pelbagai PSI. Kelahiran dan kehadiran PSI semakin bertambah dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat Islam khususnya, negeri dan negara umumnya. Keadaan yang serba menghijau ini semakin subur dengan pengenalan Konsep Islam Hadhari oleh kerajaan pimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai lanjutan kepada Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam serta keprihatinan dan sokongan Kabinet Kerajaan Negeri pimpinan YAB Datuk Musa Hj. Aman di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah, Yang di-Pertua Negeri Sabah yang amat peka terhadap perkembangan dakwah di Sabah.
Fasa Perkembangan PSI
Kegiatan berpersatuan di Semenanjung Malaysia boleh dibahagikan kepada 5 fasa. Fasa pertama, zaman awal selepas kemerdekaan. Fasa kedua, 1970an – zaman perkembangan dan berkaitan dengan Islamic Revivalism. Fasa Ketiga 1980an – tahap pemantapan digandingkan dengan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam. Fasa keempat 1990an – tahap penyuburan dan berkaitan dengan penginstitusian Islam. Fasa kelima 2000 – kini – Pertubuhan Sukarela Islam dan Islam Hadhari.
Pembahagian fasa perkembangan PSI di Sabah agak berbeza dengan perkembangan yang berlaku di Semenanjung Malaysia. Hal ini berlaku kerana fasa perkembangan PSI di Sabah dipengaruhi oleh latar sejarah Sabah dan perkembangan-perkembangan semasa yang berlaku terutama yang melibatkan soal agama dan politik. Namun ini tidak pula bererti perkembangan tersebut terpisah sama sekali dengan perkembangan yang berlaku di Semenanjung, kerana seperti disebutkan tadi bahawa PSI yang berpuncakan Semenanjung juga mempunyai rangkaian dan hubungan rapat dengan perkembangan yang berlaku di Sabah.
5. Kajian Kes USIA dan ABIM Sabah: Peranan Yang Dimainkan Sebagai Sektor Ketiga Yang Penting
Kajian kes secara ringkas tentang peranan PSI ini adalah bagi tempoh 1969 – 2006. Ia dibahagikan kepada dua fasa iaitu; pertama, tahun 1969 hingga 1982 (USIA), dan kedua, tahun 1982 hingga tahun 2006 (ABIM Sabah). Kajian terhadap USIA lebih tertumpu pada tahun 1969 hingga 1976 kerana dalam tempoh ini USIA telah muncul sebagai organisasi yang besar dan kuat dan telah menempa nama dalam kegiatan dakwah bukan sahaja di Sabah, bahkan di Malaysia. Pencapaian tersebut sangat mengkagumkan dari segi jumlah pengikutnya. Tempoh 1969 – 1976 adalah zaman pemerintahan Tun Datu Mustapha Datu Harun sebagai Ketua Menteri (tepatnya 11 Mei 1967 – 31 Oktober 1975). Hal ini dapat difahami kerana kegiatan dakwah Islam di Sabah dipengaruhi kuat oleh kesungguhan dan komitmen kepemimpinan politik negeri, dalam erti kata lain faktor kerajaan. Begitulah juga sebaliknya. Kajian terhadap ABIM Sabah pula adalah berdasarkan tempoh dari sejak penubuhannya pada tahun 1982 hingga tahun 2006.
USIA
USIA ditubuhkan menerusi satu usul dalam kongres penubuhannya yang diadakan pada 14 – 16 Ogos 1969 di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu dengan dihadiri 300 orang dari seluruh negeri Sabah. Usul tersebut menyatakan bahawa USIA ditubuhkan adalah untuk menjaga kepentingan umat Islam di Sabah khasnya dalam bidang pelajaran, kebajikan dan iktisad dan hal-hal yang berkaitan soal-soal agama. YAB Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri Sabah pada masa itu telah dipilih sebulat suara sebagai Yang Dipertua Agung USIA yang pertama. Sejak penubuhannya hinggalah tahun 1976, USIA telah memberikan sumbangan besar terhadap perkembangan Islam dan pemikiran masyarakat Sabah. Sumbangan tersebut dapat disimpulkan dalam lima aspek berikut: (Muhiddin Yusin: 1990 )
Pertama, peningkatan jumlah penganut Islam yang terdiri daripada pelbagai suku kaum di seluruh negeri menerusi kegiatan pengislaman besar-besaran. Pada tahun 1880-an, penduduk peribumi Sabah beragama Islam hanyalah 35%, secara relatif menurun kepada 31.1% pada tahun 1921, dan kemudiannya meningkat kepada 32.1% pada tahun 1931, 34.5% pada tahun 1951. Pada tahun 1960-an, jumlah penduduk Islam adalah kira-kira 38%, penganut Kristian 16% manakala pagan berjumlah 46%. Ini bererti USIA telah mengeluarkan masyarakat pagan yang sebahagian besarnya suku kaum Dusun daripada kepercayaan animisme kepada percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa. Perkembangan dakwah Islam telah berjalan dengan pesat, seiring dengan perkembangan USIA itu sendiri, dan ini membawa kepada perpaduan masyarakat Islam secara keseluruhan.
Jumlah penduduk Islam yang tidak mencecah 50% daripada jumlah penduduk Sabah, sebelum penubuhan USIA, tidak memungkinkan Islam dijadikan sebagai agama rasmi Sabah berdasarkan ketetapan dalam Perjanjian 20 Perkara yang antara lain menyebut bahawa “Bahasa perhubungan rasmi ialah Bahasa Inggeris; Imigresen dan Pendidikan mestilah di bawah kuasa Kerajaan Negeri; dan Islam bukanlah Agama Rasmi di Sabah”. Keazaman penduduk bukan Islam untuk mempertahankan agar Sabah tidak mempunyai agama rasmi dapat dilihat apabila Donald Stephens membuat penegasan bahawa beliau akan berusaha supaya Sabah tidak akan mempunyai agama rasmi tetapi sebaliknya memelihara kebebasan beragama seperti yang ada pada ketika itu. (Mat Zin Mat Kib: 2003)
Kedua, hasil perjuangan USIA juga berjaya menubuhkan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada tahun 1971. MUIS ditubuhkan untuk memperkemaskan pentadbiran dan pengurusan berkaitan hal ehwal agama Islam termasuk pendidikan agama. Ini diikuti dengan kejayaan bersejarah apabila usul pindaan perlembagaan Negeri dapat dibuat dengan menjadikan Islam sebagai agama rasmi diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 23 September 1973. Kejayaan ini dicapai hasil gerakan dakwah secara besar-besaran yang turut berjaya menambah bilangan ADUN beragama Islam menjadi dua pertiga. Dengan demikian penganut Islam telah menikmati hak-hak tertentu sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, di antaranya hak kebebasan untuk dikembangkan dan berada di bawah perlindungan undang-undang Negara. Selain kejayaan menjadikan Islam sebagai agama rasmi negeri, USIA juga turut berperanan penting sehingga Bahasa Melayu diterima menjadi bahasa rasmi Sabah pada 16 September 1973. Ini bermakna USIA telah memberi sumbangan besar dalam menyesuai serta menyelaras dasar-dasar negeri dengan dasar kebangsaan, dan seterusnya ke arah memupuk integrasi dan perpaduan nasional.
Ketiga, kemunculan golongan muda yang berpendidikan agama secara formal dalam kalangan masyarakat Islam Sabah. Golongan ini terbahagi kepada dua golongan. Pertama, mereka yang berpeluang mengikuti pelajaran agama di sekolah yang ditubuhkan oleh USIA dan MUIS, selain mengikuti pelajaran di sekolah akademik biasa. Kedua, mereka yang mengikuti pelajaran agama sepenuhnya di sekolah yang ditubuhkan USIA dan MUIS atau di Semenanjung. Golongan muda yang berpendidikan serta memiliki kesedaran akan tanggungjawab terhadap agama inilah yang kemudiannya turut menyumbang kepada kegiatan dakwah selain turut berperanan penting dalam sektor kerajaan dan swasta.
Keempat, meningkatnya harga diri sebagai seorang muslim dalam kalangan pelajar Islam yang berada di sekolah menengah dan maktab perguruan di Sabah. Pelajar-pelajar menjadi lebih ghairah dan kerap berbincang tentang ajaran Islam dan menikmati kemudahan yang lebih dalam mengamalkan ajaran Islam.
Kelima, pembelian gereja kepunyaan Seventh-Day Adventist (SDA) di Bukit Bendera lalu ditukar menjadi masjid. Sungguhpun tujuan pembelian tersebut adalah untuk menampung keperluan masyarakat Islam di tengah Bandar Kota Kinabalu, namun ia disifatkan sebagai kemuncak kepada kegiatan USIA sekali gus kemenangan moral kepada masyarakat Islam. (Muhiddin Yusin : 1990, Awang Sahari Abdul Latif : 2003 )
Walaupun perlembagaan USIA tidak mencatatkan secara langsung bahawa mengukuhkan kedudukan Islam di Sabah sebagai salah satu daripada tujuan-tujuan penubuhannya, namun persoalan itulah yang merupakan matlamat perjuangan USIA. Tun Datu Mustapha selaku Yang Dipertua Agung USIA bersama pemimpin-pemimpin USIA yang lain, seperti sedia dimaklumi, sebenarnya memiliki kesedaran dan keinsafan bahawa kedudukan Islam dan penganutnya di Sabah adalah lemah akibat kesan penjajahan dan perlu dibela dan seterusnya diletakkan pada kedudukannya yang wajar.
Dalam hal ini USIA telah berperanan sebagai sebuah PSI yang mempunyai single mindness of purpose atau matlamat khusus. Untuk mencapai matlamat tersebut, USIA juga adalah sebuah PSI yang berteraskan program yang menyalurkan khidmat kebajikan dan penerangan mengenai Islam dalam kadar tertentu.
ABIM Sabah
Jika USIA dilihat sebagai penyedia infrastruktur atau hardware kepada pembangunan umat Islam Sabah, ABIM lebih dilihat sebagai pengisi atau software. Sasaran dakwah USIA lebih bertumpu kepada masyarakat bukan Islam manakala ABIM lebih kepada masyarakat Islam. Hal ini tidak bermaksud USIA dan ABIM mempunyai tujuan dan pendekatan dakwah yang berbeza tetapi sebaliknya saling lengkap-melengkapi.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ditubuhkan pada tahun 1971 dengan objektif untuk meningkatkan pengetahuan Islam dalam kalangan anggota dan umat Islam, meningkatkan taraf hidup masyarakat dan memperjuangkan isu kemanusiaan dan keadilan. Komitmen memperjuangkan isu kemanusiaan dan keadilan itu terangkum dalam moto perjuangannya dan Risalah ABIM iaitu “menegakkan kebenaran dan keadilan”. Sebagai sebuah gerakan Islam, visinya adalah “membina dan memimpin tamadun khayra ummah abad 21, manakala misinya pula adalah “Gerakan Islam yang komprehensif untuk merealisasikan cita-cita Islamiyyah”. Menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (1994), setelah membuat kajian ke atas beberapa pertubuhan bukan kerajaan berasaskan Islam di Malaysia, “ABIM sahajalah yang dipercayai dan popular yang menghargai dasar Islamisasi kerajaan secara kritis”, dan “sedia bekerjasama dengan sebarang kumpulan dalam bidang yang akan memanfaatkan Islam dan umatnya berdasarkan prinsip ‘bekerjasama dalam kebaikan’.”
ABIM merupakan gerakan dakwah yang didasari ciri-ciri gerakan Islam yang bersifat NGO. Risalah yang dibawanya ialah Islam sebagai ad-deen, menggunakan pendekatan keilmuan dalam perjuangan, program dan aktivitinya yang berteraskan lima budaya - budaya ilmu, amalan kerohanian, amalan syura dan amal jamaiy, memahami dan melibatkan diri dalam isu semasa dan penghayatan ruhul-jihad fi sabiliLlah. Budaya ini diaplikasikan dalam pembinaan individu melalui usrah dan tamrin serta pembinaan masyarakat melalui dakwah dan tarbiyah.
Kehadiran ABIM di Sabah bermula tahun 1977 apabila seorang aktivis ABIM berasal dari Kelantan bertugas di Lahad Datu. Sokongan masyarakat tempatan terhadap ABIM di daerah tersebut menggalakkan dan ini mendorong kepada usaha menubuhkan ABIM Daerah Lahad Datu. Namun oleh kerana pergolakan politik Sabah pada masa itu kritikal dan rumit, maka ABIM Pusat memberi nasihat agar tidak ditubuhkan. Namun begitu ABIM Lahad Datu, walaupun di peringkat penaja, sehingga tahun 1979, sempat mengadakan aktiviti usrah dan ceramah umum, menyuarakan isu semasa misalnya isu kalimah shahadat di selipar, Perjanjian Camp David dan campur tangan Amerika di Iran.
Kehadiran Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin yang “dibuang” dari ITM Shah Alam ke YS-ITM Sabah merupakan titik penting dalam sejarah ABIM Sabah. Beliau yang memegang jawatan Ketua Biro Dakwah ABIM Pusat telah memperkenalkan ABIM kepada masyarakat khususnya golongan pelajar menerusi program usrah, tamrin, dan qiyamullail yang dibuat di masjid-masjid sekitar Kota Kinabalu. Beliau seterusnya menubuhkan ABIM Kota Kinabalu pada tahun 1980 dan berjaya didaftarkan setahun kemudian. Penubuhan ABIM Kota Kinabalu adalah pemula kepada penubuhan ABIM daerah-daerah lain dan akhirnya membawa kepada penubuhan ABIM Sabah pada tahun 1981. Sungguhpun kehadiran Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin di Sabah sangat singkat, kurang dari setahun, beliau telah berjaya meletakkan asas kukuh dengan menyediakan barisan pelapis daripada kalangan pelajar-pelajar tempatan, yang kemudiannya menjadi pimpinan utama ABIM Sabah. (Sainuri Yahmin: 2006)
Program ABIM di peringkat awal ini ternyata mempunyai kelainan dan kekuatan tersendiri serta mampu menarik minat semua lapisan masyarakat. Ceramah-ceramah umum yang dibuat di masjid, pejabat kerajaan dan sekolah menekankan konsep Islam sebagai ad-deen dan tanggungjawab setiap muslim.
Walaupun masih muda, ABIM Sabah berjaya menjalankan aktiviti dakwah dan tarbiyyah dengan berkesan. ABIM terus menyampaikan Islam dalam bentuknya yang syumul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Hakikat ini diakui oleh Muhiddin Yusin (1990), sebagaimana yang dinyatakan dalam buku beliau Islam di Sabah, “Badan yang dianggap serius dan memperlihatkan penglibatan yang bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk melahirkan individu Islam yang beriman dan tahu tentang tanggungjawab mereka sebagai insan mukmin ialah ABIM”.
Kegiatan ABIM di Sabah selari dengan apa yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan namun aktiviti bercorak tempatan juga dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan sesuai dengan pendekatan manhaj malaziy (pendekatan keMalaysiaan) ABIM itu sendiri. Hakikatnya ABIM Sabah adalah sebuah gerakan massa dengan cita-cita untuk memartabatkan Islam di negeri Sabah melalui pendekatan dakwah dan tarbiyah. Kebijaksanaannya memahami cita-cita dan citra umat telah meletakkan ABIM Sabah secara sedar dan istiqamah untuk meningkatkan faham dan amal beragama dalam kalangan masyarakat Islam. Sejak penubuhannya, ABIM Sabah berkeyakinan penuh bahawa setiap perubahan perlu berteraskan ilmu. Oleh kerana itu, tanpa menafikan kepentingan sektor lain, ABIM Sabah mempelopori agenda pembudayaan ilmu dalam masyarakat dalam semua program dakwah, manakala setiap program adalah hasil muafakat jama’ie berdasarkan pertimbangan rapi dan keperluan semasa dan setempat. Secara ringkas, sumbangan dan pengaruh ABIM Sabah adalah sebagaimana yang dinyatakan seperti berikut.
Pertama, berhasil memperkenalkan konsep Islam sebagai satu cara hidup (ad-deen) yang lengkap dan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan melalui siri-siri Kursus Kesedaran Islam, Kursus Kerohanian dan Fardhu Ain, Seminar Wanita Islam Sabah dan ceramah umum. ABIM juga memasyarakatkan ibadat-ibadat khusus seperti qiyammullail, qurban dan aqiqah yang jarang dilakukan sebelum ini.
Kedua, mendidik umat, membangun pemikiran melalui program keilmuan. Sumbangan ABIM yang sangat signifikan kepada pembangunan umat ialah menganjurkan program keilmuan yang berfokuskan mendidik akal budi. Misalnya, Seminar Pemikiran Islam yang bertujuan mendekatkan masyarakat dengan tokoh ilmuan dan pendakwah besar seperti Imam Ghazali, Imam Shafie, Hassan al-Banna, Muhammad Abduh, Ibnu Khaldun, Ibnu Taimiyyah, Maududi, Hamka, Muhammad Natsir, Haji Zaini Palembang, dan para pendakwah di Putatan dan Ranau. Siri Kuliah Tafsir Maudhu`iy pula bertujuan mengetengahkan suatu bentuk tafsir al-Quran berdasarkan tema. Program-program lain adalah Seminar Muslimat Teladan sebanyak 5 siri (Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah, Asma, Fatima az-Zahra, Nasibah Kaab), Seminar Khulafa ar-Rashidin, Kursus Kekeluargaan Islam dan Seminar al-Quran. Antara tokoh-tokoh terkenal yang turut mengisi program ABIM Sabah ialah Dr. Ahmad Totonji, Dr. Osman Bakar, Dr. Siddiq Fadhil, Dr. Mohammad Redzuan Othman, Dr. Sidek Baba, Dr. Khalijah Mohd. Salleh, Dr. Baharuddin Ahmad, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Ketiga, prihatin terhadap nasib masyarakat Islam Sabah. Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) menimbulkan banyak kesulitan dan tekanan kepada umat Islam. Dalam kegiatan dakwah, aktiviti-aktiviti Jamaah Tabligh dan Darul Arqam diharamkan. ABIM sebagai sebuah gerakan dakwah dengan prinsip non-partisan, dengan cara tersendiri sebagai sebuah gerakan berteraskan budaya ilmu, turut berjuang untuk mengembalikan kekuasaan umat Islam di Sabah daripada PBS dengan pelbagai cara. Antaranya dengan menganggotai Majlis Perpaduan Ummah bersama PSI yang lain, terlibat menjayakan Kongres Tertutup Masa Depan Umat Islam Sabah anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Sabah (PKPIM) yang diinisiatifkan oleh pelajar-pelajar Sabah di Pusat Pengajian Tinggi di Semenanjung pada tahun 1991.
Selari dengan resolusi kongres itu, ABIM Sabah menganjurkan Seminar Pengaruh Islam Dalam Budaya Suku Kaum Di Sabah, yang bertujuan mengetengahkan peranan Islam sebagai faktor pemersatu masyarakat Islam Sabah yang berbilang suku kaum. Pemimpin dan ahli ABIM atas kapisiti sebagai pegawai kerajaan dan individu bergerak ke seluruh Sabah menyampaikan mesej dakwah dan perpaduan.
Pada masa yang sama, ABIM Sabah menyuarakan pandangan terhadap isu-isu yang menyentuh kepentingan umat Islam, misalnya dalam kes YB Nahalan Hj. Damsal - seorang penganut Ahmadiah - yang diangkat oleh Kerajaan PBS sebagai mewakili masyarakat Islam, Enakmen Hukum Syarak (Pindaan) 1977, penyelewengan dalam MUIS, isu perubahan status sekolah-sekolah agama di bawah kendalian MUIS dan isu had umur pelajar-pelajar Sekolah Ugama Islam Sabah (SUIS). ABIM Sabah juga menyalurkan maklumat tentang sikap diskriminasi Kerajaan PBS kepada ABIM Pusat untuk diambil tindakan lanjut.
Keempat, menyediakan program asas pendidikan Islam dan pendidikan menengah. ABIM Sabah menubuhkan Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) bagi menyemai pendidikan Islam dalam diri anak-anak. ABIM juga menubuhkan Yayasan Budi Akademik untuk bertujuan menampung pelajar-pelajar yang tercicir dalam peperiksaan dan tidak boleh melanjutkan pelajaran di sekolah kerajaan, membekalkan tenaga kerja kepada aktiviti-aktiviti ABIM sebagai sebahagian ko-kurikulum dan seterusnya menjadi ahli ABIM, dan menyediakan pendidikan alternatif yang bersepadu di peringkat sekolah menengah. Selain itu, ABIM menganjurkan Seminar SPM/STPM (yang pertama seumpamanya di Sabah), Seminar Pendidikan Islam, Seminar Seminar Pembudayaan Sains dan Matematik Dalam Masyarakat Islam juga dianjurkan, Program Pemantapan Akademik. Semua program tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Kelima, mengangkat sumbangan umat Islam dalam sejarah negeri Sabah. Peranan Islam dalam sejarah Sabah sangat besar dan penting sekali diketahui oleh generasi muda. ABIM Sabah mengadakan program Seminar Memperingati Tokoh secara bersiri untuk mengenali tokoh-tokoh masyarakat Islam dan memahami sumbangan mereka, misalnya Tun Datu Mustapha, Syarif Osman, Datu Paduka Mat Salleh, Embo’ Ali, Pak Musa, Datu Tating dan Panglima Ali. ABIM Sabah juga berjaya menerbitkan monograf Sejarah Islam dan Perjuangan Ulama Sabah yang mengetengahkan sumbangan Haji Yaakub Haji Ali, Imam Haji Suhaili Haji Yaakub dan Tuanku Said Muhammad Shahbuddin.
Keenam, mengukuhkan perpaduan umat Islam. Selepas kemenangan Barisan Nasional pada tahun 1994, ABIM Sabah turut berusaha membangun dan memperkuatkan masyarakat Islam. Pada tahun yang sama ABIM Sabah menganjurkan Seminar Pembangunan Sabah Menjelang Abad 21, sebagai manifestasi cita-cita ingin melihat umat Islam Sabah maju ke hadapan dalam semua aspek kehidupan. Selepas berlangsungnya seminar tersebut, ABIM terus komited dengan gerakan merubah minda dan jiwa masyarakat ke arah kebaikan atas keyakinan bahawa perubahan harus bermula dalam diri. Diri-diri yang baik akan menjadi keluarga dan masyarakat yang baik, dan seterusnya melahirkan sebuah Negara yang baik. Diri-diri yang baik ini akan mampu mencapai kecemerlangan, menyumbang kepada pembangunan Negara dalam erti yang sebenar.
Ketujuh, bertindak sebagai juru bicara dalam mempertahan dan membela nasib umat Islam. Dalam isu antarabangsa ABIM Sabah berperanan mendedah dan menyalurkan maklumat tentang penderitaan umat Islam di luar Negara dengan melancarkan Tabung Derma Palestin, bantahan terhadap pencerobohan Russia ke atas umat Islam di Afghanistan dan melancarkan Tabung Afghanistan, Tabung Bosnia dan Tabung Tak Bai sebagai tanda rasa ukhuwah umat Islam di Sabah dengan umat Islam di luar negara. Selain itu, ABIM Sabah membuat bantahan terhadap buku “Prophet Muhammad” di Perpustakaan Negeri, aktiviti perjudian yang berleluasa, cadangan pembinaan kasino di Sabah, sikap berat sebelah SUHAKAM dalam isu Maang, isu pembinaan Patung Mazu di Kudat, dan menyatakan sokongan terhadap cadangan pengharaman Black Metal di Negara ini. ABIM Sabah juga turut menyangkal dan membantah kenyataan Pope Benedict dalam isu tentang Nabi Muhammad s.a.w.
ABIM selaku Pengerusi Gabungan NGOs Islam, telah mengambil inisiatif menangani isu murtad dengan bijaksana tanpa menimbulkan ketegangan, begitu juga isu penggubalan enakmen berkaitan larangan dakyah kepada orang Islam di negeri Sabah seperti diminta oleh YAB Perdana Menteri. ABIM Sabah bersama rakan dalam gabungan tersebut telah berjaya menyerahkan memorandum kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan kepada YAB Ketua Menteri Sabah.
Kelapan, menyantuni masyarakat dengan program kemasyarakatan. ABIM menyantuni masyarakat dengan mengadakan majlis gotong-royong membaiki masjid, mengimarahkan masjid, projek kampung angkat dan bantuan kepada mangsa kebakaran. ABIM Sabah juga membudayakan ibadah qurban. Program Kembara Amal pula adalah aktiviti bersama masyarakat di luar bandar - golongan kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua - melalui aktiviti kemahiran solat, sukaneka dan permainan, sukan, bimbingan motivasi dan kemahiran, tayangan filem, pemeriksaan dan rawatan kesihatan, gotong-royong, kenduri dan ziarah. Program Ihya Ramadhan Membina Belia Bertaqwa pula adalah khusus untuk golongan belia di seluruh negeri dengan menggunakan modul Latihan Dinamika Kumpulan yang menekankan soal Tanggungjawab dan Hak serta memberi kefahaman tentang konsep Taqwa dan implikasinya dalam kehidupan sempena bulan Ramadhan.
Kesembilan, bersama menangani kebejatan akhlak dan moral. ABIM Sabah bersama Majlis Belia Sabah mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi kebejatan akhlak dan moral generasi muda dengan menganjurkan Persidangan Meja Bulat Menangani Ancaman Dadah di Negeri Sabah yang telah menghimpunkan pelbagai jabatan, agensi dan NGO bersama wakil-wakil pertubuhan belia yang kemudiannya berjaya menghasilkan resolusi dan pelan tindakan. ABIM Sabah juga mengadakan perbincangan berhubung isu Black Metal serta mengeluarkan pandangan kepada umum tentang kaedah menanganinya dari sudut pendidikan, pencegahan dan hukuman termasuk meminta Kerajaan Negeri Sabah mewartakan enakmen berkaitan.
Kesepuluh, menganjurkan program dakwah kepada non-muslim dan dialog. ABIM turut berdakwah kepada masyarakat bukan Islam melalui program Islamic Outreach ABIM (IOA). Selain itu, ABIM bersama persatuan belia bukan Islam, menekankan kepentingan kehidupan beragama dan menimbulkan kesedaran terhadap titik pertemuan antara agama-agama dengan penganjuran, pertama: Seminar Agama Asas Pembinaan Moral dan Etika buat pertama kali dalam sejarah gerakan belia di Sabah, kedua: Seminar Memperkasa Belia bersama Majlis Belia Sabah, yang mengundang wakil belia Islam, Kristian dan Buddha, serta peserta dari pelbagai agama lain seperti Hindu, Sikh, Bahai dan Pagan. ABIM Sabah juga kerap memenuhi undangan persatuan belia bukan Islam menyertai aktiviti mereka dan seterusnya menjalin hubungan dan kerjasama.
Kesebelas, memantapkan hubungan dan kerjasama sesama PSI dan Jabatan-jabatan Kerajaan. Pemimpin dan ahli ABIM turut memberi sumbangan pemikiran dan pandangan dalam pelbagai majlis, misalnya Majlis Perundingan Belia Negeri, Dialog, Seminar anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah, di samping bersama-sama menganjurkan Program Bulan Ramadhan, Program Rakan Muda Ramadhan, Seminar Kepimpinan Belia Islam, Program Penghayatan Hijrah, Jawatankuasa Program Tadarus Al-Quran. Kementerian Belia dan Sukan Sabah, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah telah menjadikan sebahagian daripada program tersebut sebagai aktiviti tahunan bersama ABIM Sabah.
Begitu juga dalam Majlis Belia Sabah, Majlis Belia Malaysia, ABIM turut menyumbang sebagai badan gabungan Majlis Belia Sabah dan telah berjaya menganjurkan siri Wacana Ilmu, konvensyen dan penerbitan buku. Manakala bersama PSI Sabah, ABIM Sabah merancang dan melaksanakan strategi, dalam bentuk program, aktiviti dan advokasi yang bertujuan, pertama: mempastikan kesatuan umat Islam tetap padu dan utuh, kedua: membangun jiwa dan minda ke arah membina dan memperkasakan generasi muda khususnya, ketiga: mempertahan dan membela kepentingan masyarakat Islam.
Sebagai kesimpulan, sejak penubuhannya 25 tahun lalu, ABIM Sabah telah membantu mengisi kemerdekaan dengan mendidik umat, menyatupadukan masyarakat, membantu membina suasana politik yang stabil dalam negeri dan seterusnya negara, membela kepentingan umat menerusi advokasi dalam pelbagai isu melibatkan belia dan kemanusiaan, membantu menyediakan pemimpin pelapis yang baik dan bertanggungjawab yang memberi manfaat kepada semua suku, bangsa dan agama menerusi aktiviti dakwahnya.
Sokongan masyarakat terhadap program keilmuan dan advokasi ABIM amat memberangsangkan bahkan dicontohi dan mula dibudayakan oleh pihak lain. ABIM Sabah diterima dengan baik oleh rakan-rakan dalam MBS, MBM, PSI dan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama dan belia.
Keadaan ini sama sekali berbeza dengan pandangan sebilangan kecil ahli politik, segelintir pegawai kerajaan dan pemimpin badan bukan kerajaan, baik Islam mahupun bukan Islam yang menganggap ABIM sebagai pelampau, pemecah belah perpaduan, penggugat kestabilan politik negeri dan Negara. Harus disedari bahawa realiti permasalahan di Sabah tidak sama dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Kini ABIM Sabah berjaya membuktikan bahawa peranannya adalah sangat strategik dalam pembinaan negeri khususnya dan Negara amnya. Kekuatan ABIM Sabah terletak kepada dua unsur penting iaitu ketinggian Islam sebagai risalah yang dibawa dan dinamika belia yang mendokong perjuangannya.
ABIM Sabah adalah rakan pembangunan di Sabah dalam ertikata sebenar. Ia adalah sebuah PSI berteraskan program yang menyalurkan khidmat kebajikan dan penerangan mengenai Islam secara menyeluruh, juga sebuah PSI berteraskan massa yang bertujuan memperjuangkan cita-cita Islamiyah secara bersepadu berdasarkan kesedaran Islam yang menyeluruh.
6. Penutup
Dalam mengisi proses kemerdekaan sudah tentu terdapat cabaran yang besar yang dihadapi oleh PSI. Cabaran luaran dan dalaman telah menjadikan PSI ini lebih matang dan teruji dan menghadapinya dengan hikmah dan bijaksana, bukannya secara emosi. Inilah yang ditunjukkan oleh PSI seperti USIA dan ABIM Sabah dalam menghadapi tuntutan pengisian kemerdekaan bukan sahaja dalam aspek material tetapi juga jiwa dan kerohanian.
Rujukan
Datuk Haji Awang Sahari Abdul Latif. 2006. “Perkembangan Agama Islam di Putatan”. Kertas kerja Seminar Pemikiran Islam 1: Sejarah Gerakan Islam dan Perjuangan Ulama di Sabah, Putatan. Anjuran ABIM Negeri Sabah, Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Penampang dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah, 23 Disember.
Datuk Haji Awang Sahari Abdul Latif. 2003. “Tun Datu Mustapha Memimpin USIA Membela Kepentingan Agama Islam di Sabah”. Kertas kerja Seminar Memperingati Tokoh: Tun Datu Mustapha dan Sumbangannya Dalam Perkembangan Dakwah Islamiyah di Sabah, Kota Kinabalu. Anjuran ABIM Negeri Sabah, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah pada 13 September.
Hairi Abdullah, Abdul Samad Hadi, Zulkifly Haji Mustapha.1986. Sabah : Perubahan Dalam Pembangunan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia-Yayasan Sabah.
Haji Mokhtar Ramli. 2002. Sejarah Islam dan Perjuangan Ulama Sabah. Puchong: ABIM Sabah.
James P. Ongkili. 1972. Pre-Western Brunei, Sarawak and Sabah. Dalam The Sarawak Museum Journal. Vol XX (40-41).
Mat Zin Mat Kib. 2003. Kristian di Sabah 1881 – 1994. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhiddin Yusin. 1990. Islam di Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muddin Beting (ed.). 2002. Da’wah Dalam Pembangunan Sabah. Puchong: ABIM Sabah.
Sainuri Yahmin. 2006. “ABIM dan Sumbangannya Dalam Gerakan Dakwah di Sabah”. Kertas kerja Seminar Pemikiran Islam 1: Sejarah Gerakan Islam dan Perjuangan Ulama di Sabah, Putatan. Anjuran ABIM Negeri Sabah, Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Penampang dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah, 23 Disember.
Shaharuddin Badaruddin, Mohammed Redzuan Othman dan Muhamad Razak Idris (2004), Pertubuhan Sukarela Islam dan Pembinaan Negara Bangsa : Peranan ABIM dalam Usaha Penerbitan Sepanjang 33 Tahun Penubuhannya, dalam Shaiful Bahri Md. Radzi (et. al). Prosiding Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu (SAKM) VIII, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan : Kuala Lumpur.
Siddiq Fadzil. 2003. Perspektif Qurani : Siri Wacana Tematik. ABIM : Kajang.