Oleh
Abdul Manap Mahmud
MUQADDIMAH
Al-Quran sebagai “mukjizat nubuwwah” terakhir dan Qalam–ulLlah yang agung secara authentik, komprehensif dan holistik telah merakamkan kisah–kisah “sadiq” generasi muda zaman berzaman. Kisah Ashabul kahfi sekumpulan pemuda–pemuda agung yang beruzlah, bermujahadah dan berhijrah demi mempertahankan mahkota keimanan yang mulus. Kisah Yusuf a.s seorang pemuda hebat yang tetap memilih kasih Tuhannya disebalik godaan dunia. Kisah anak soleh Ismail a.s yang tidak gusar untuk menerima ujian pengorbanan jiwa demi ketaatan, keimanan dan kesempurnaan sanubari memahami perintah dan janji Allah swt. Kisah Ibrahim a.s yang bersendirian menghadapi pemulauan, penghinaan, pencercaan dan penyiksaan oleh kaum dan ayahnya sendiri semata–matanya mempertahankan hujah dan keyakinannya kepada Allah yang esa. Kisah Muhammad s.a.w dengan gelaran Al-amin kerana penampilan diri dan kejernihan aqal budinya. Demikian cebisan kisah–kisah yang amat sarat dengan hikmah dan pengajaran muktabar yang membawa konotasi bahawa pada diri–diri generasi muda itu memang secara azali punya sejumlah ramuan yang amat berharga untuk membentuk jiwa kental dipundak maratib tertinggi dari kalangan makhluk. Pada diri – generasi muda itu mempunyai sejumlah kekuatan dan momentum yang amat signifikan untuk memikul amanah dan pentaklifan tanggungjawab kekhalifahan. Seandainya tetap sirna, lesu, pudar dan tidak bermaya butir-butir permata ini adalah mungkin kerana mereka keliru, dan tidak berjaya menghargai ramuan dalam diri yang sedia ada atau kegagalan meletakkan kekuatan dan momentum itu ditempat yang sewajarnya.
ISLAM
Islam bermaksud sejahtera, tunduk, patuh dan menyanjungi perintah serta mendokong titah Allah swt. Islam adalah agama yang ditanzilkan kepada semua rasul dan nabi sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Muhammad s.a.w. Syariat Islam yang ditanzilkan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah syariat yang terakhir sebagai panduan kepada seluruh umat manusia sehingga hari kiamat. Islam adalah agama yang lengkap dengan segala peraturan dan tatasusila murni yang sesuai untuk semua bangsa, suku kaum dan ras dan pada masa yang sama berupaya untuk menyantuni semua ceruk lapisan demografi jagat raya ini. Islam adalah din-ulLah yang responsif akomodatif terhadap perubahan zaman. Islam adalah agama yang dipandu oleh Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Islam meletakkan keutamaan kepada ilmu yang benar untuk membina asas-asas beramal soleh. Islam adalah agama untuk penitipan akhlak, adab serta etika yang tinggi. Islam adalah agama yang menobatkan prinsip keadilan dan prinsip kebenaran agar sentiasa menjadi sempadan kehidupan bermasyarakat dan bernegara Syariat Islam yang ditanzilkan kepada Nabi Muhammad s.a.w itu bersifat responsif akomodatif Responsif akomodatif ini bermaksud bukan sahaja meletakkan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Khatamun-anbiya dan penghulu para rasul malahan lebih jauh dari itu mengangkat umatnya bersama melaksanakan fungsi Nubuwwat. Iaitu bersama–sama memperkukuh dan menyebarkan syariat Islam keseluruh jagat raya ini.(dae’i) Berbeza dengan syariat semua rasul terdahulu syariat ini sangat dinamik sehingga mampu untuk menyantuni perubahan zaman dan keadaan, melayani kepelbagaian bangsa, suku, ras dan warna kulit, serta mempunyai asas – asas untuk memimpin dan mencorak masa depan dunia yang lebih moden, harmoni dan bahagia untuk seluruh umat manusia hingga hari kiamat.
KRONOLOGI SEJARAH UMAT ISLAM
Nabi Muhammad saw berjaya membangunkan Negara Madinah dan seterusnya futuhatul Mekah. Kemangkatan baginda telah melahirkan pemerintahan khulafa Ar-Rasyidin yang menampilkan sahabat agung Syaidina Abu Bakr As-Siddiq ra., Syaidina Umar ibn Khattab ra, Syaidina Usman ibn Affan ra dan Syaidina Ali ibn Abu Talib ra. Kemudian diikuti oleh sistem khalifah Bani Ummayah dan Kerajaan Bani Abbasiyyah (750 –1258M). Kerajaan Bani Abbasiyyah bertahan 500 tahun. Kejatuhan kerajaan ini akibat masalah akhlak dan masalah keberkesanan pimpinan menunaikan hak dan tanggungjawab pemerintahan. Faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan ini ialah ancaman gerakan Salibiyyah (1097–1292M) dan puak Mongol Tartar. Implikasi besar kejatuhan ini ialah orang Eropah berjaya berinteraksi secara tidak jujur dengan khazanah ilmu dari tamadun Islam (mereka mengambil manfaat, lantas mengeksploitasi, mengubah dan memutuskan langsung hubungan ilmu berkenaan dari tradisi Islam) diikuti dengan mengunci habis semua khazanah berkenaan akibat dendam salibiyyah yang amat mendalam. Manakala Puak Mongol tartar yang primitif itu pula mendobak – dabrik negara Islam secara fizikal tanpa kesedaran akliah. Suasana politik dunia Islam selepas kejatuhan bani Abbasiyyah, adalah dalam situasi gawat yang amat dasyhat meliputi sistem struktur bernegara, material dan intelektual. Ini ditandai sebagai zaman pertengahan. Pada zaman pertengahan ini lahirnya kerajaan Turki Uthmaniyyah (1281–1924M), bertahan lebih 600 tahun, diasaskan oleh Uthman bin Ertoghril (I, 1258M). Kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah, yang mampu bertahan lebih 600 tahun itu memberi pengalaman pahit kepada tamadun Barat. Gerakan Salibiyyah serik berhadapan dengan kerajaan Islam yang mampu bertahan hingga ratusan tahun. Negara Islam Turki Uthmaniah telah diprogramkan menggunakan pendekatan “pecah dan perintah” Wilayah – wilayah ini telah dibahagi – bahagikan menjadi beberapa negara kecil yang berautonomi. Pada masa yang sama semangat suku kaum terus dibangunkan dalam negara – negara kecil berkenaan. Faham Islam sebagai negara telah dipudarkan, malap dan disirnakan dari ufuk hati dan jiwa nurani kepemimpinan umat. Ini adalah formulasi dan pengajaran penting tamadun barat hasil peperangan lebih 600 tahun. Zaman moden menurut istilah barat ialah faham kemenangan tamadun barat terhadap kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah. Pada masa yang sama berlaku Renaissance. Negara Islam pada hakikatnya telah jatuh dan tersungkur.
GERAKAN KEBANGKITAN UMAT ISLAM
Di bawah runtuhan negara Islam ini, berlaku gerakan untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam. (1) Aliran Salafiyyah – aliran yang berjuang ke arah menggembalikan umat Islam kepada pegangan dan cara hidup generasi pertama umat Islam, khususnya dari zaman Rasullullah dan para sahabatnya. Orientalist menggelar golongan ini sebagai “reformist”, “revivalist” dan kadang – kadang “fundamentalist”. Dalam sejarah Islam, perjuangan untuk menegakkan kemurnian Islam dipelopori oleh khalifah Umar Abdul Aziz (717–720H), Ahmad in Hambal (780– 855H), Abul Hassan al-Asyari (873 – 935H), Abu Hamid al-Ghazali (1058 –1110H), Taqiyuddin Ibn Taimiyyah (1262 – 1327H). Malahan Ibnu Taimiyyah dianggap pelopor gerakan Salafiyyah setelah umat Islam dibelenggu zaman keruntuhan mental dan fizikal sejak kejatuhan Baghdad. (2) Aliran khalaf iaitu suatu aliran yang merujuk kepada zaman kemudiannya. Khususnya semasa dan selepas kejatuhan kerajaan Utmaniah Turki. Di antara pelopor – pelopor gerakan ini ialah di Turki - Badiuzzaman Said Nursi (1873-1960M) dan Prof. Dr. Necmeddin Erbakan ; Di Mesir - Rifa’ah Badawi Rafi al – Tahtawi (1801 – 1873), Jamaluddin al-Afghani (1839 – 1897), Muhammad Abduh (1849 – 1905); Gerakan Ikwan al –Muslimin dengan Hasan Al-Banna, Dr. hasan al-Hudaibi, Dr. Abdul Qadir Audah, Sayid Qutb, Muhammad Qutb, Dr. Said Ramadhan Al-Buthi, Dr. Mustaffa al-Sibba’ie, Dr. Muhammad al-Bani, Muhammad Al-Ghazali , dan Dr. Muhammad Yusuf al-Qardhawi. Indo – Pak –Syed Ahmad Khan (1817-1898), Ahmad Qutbuddin Abul Rahim (Shah Waliullah al-Dihlawi (1703-1762) ), Abul Hassan Ali Al-Nadwi, Dr. Muhammad Iqbal (1877-1938), Sayid Abul A’ala al-Maududi (1903 – 1979), Prof. Dr. Khurshid Ahmad, Abdul Hameed Siddiqi, Zafar Ishaq Ansari, dan Maryam Jameelah. Afrika – Muhammad ibn Ali al-Sanusi (1787 –1859). Arab Saudi – Muhammad bin Abdul Wahab (1703 – 1797), Muhammad bin Abdul Qadir al – Mubarak Indonesia -Wali Songo, Bapak Muhammad Natsir, Prof. Dr. Hamka. Malaysia – Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Dr. Siddiq Fadhil, ABIM, PAS, JIM USIA, Perkim dan PKPIM. Kebangkitan semula umat Islam agak meratakan sejak kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah sehingga hari ini. Kebangkitan semula umat Islam ini bukan untuk menokok tambah syariat buatan manusia. Kebangkitan ini merupakan sambungan mata rantai – mata rantai kebangkitan yang telah diasaskan sejak Umar Ibn Abdul Aziz. Kebangkitan ini merupakan penggilapan semula kesyumulan Islam. Kebangkitan Islam ini adalah gerakan berterusan untuk memperkasa generasi.
MEMPERKASA GENERASI
Semua Bangsa dan Agama punya cita dan citra bagaimana generasi mudanya perlu dibina mengikut acuan mereka masing – masing. Kebangkitan semula Jepun dan Jerman selepas kalah teruk dalam perang dunia kedua berasaskan cita-cita untuk memperkukuhkan sains dan teknologi. Kebangkitan Amerika ditandai dengan dominasi ekonomi kapitas sedunia. Kebangkitan negara Eropah dalam bentuk budaya social dan perkembangan dunia ilmu tanpa nilai. Kebangkitan Russia melalui penamatan pemerintahan beraja Tzar. Kebangkitan semula China melalui dasar pintu terbuka dan dasar luar yang semakin liberal. Kebangkitan India melalui pengembangan dalam persenjataan, perubatan dan aero-angkasa. Kebangkitan Zionis melalui kekerasan dan pembunuhan. Kebangkitan Islam adalah kebangkitan semula satu tamadun hidup manusia yang merentas sempadan geografi dan demografi, menggenapi semua bidang kehidupan dan ruang ilmu. Kebangkitan Islam mengangkat Taqwa sebaik nilai hakiki manusiawi. Kebangkitan Islam adalah bakal mengundang kepada kejatuhan sistem – sistem bejat dan pincang. Samuel P. Huntington (the clash of civilization) berkaitan dengan pertembungan budaya perlu diambil kira dalam kita merencanakan masa depan generasi muda. Huntington membayangkan akan berlaku pertembungan budaya antara Barat dan Timur. Sudah tentu pertembungan tamadun ini juga merupakan pertembungan sesuatu yang mutlak dalam tamadun berkenaan iaitu pegangan agama atau asas agama yang menjadi pegangan manusia yang membangunkan tamadun berkenaan. Sudah tentu Barat akan diwakili oleh agama yang dianuti oleh sejumlah majority warganegara mereka begitu juga dengan Timur sudah tentu difokuskan kepada sejumlah agama yang majority dianuti oleh masyarakat sebelah timur. Mahu atau tidak Islam akan berdepan dengan bukan Islam sebagai sebuah entity yang lain. Kenichi Ohmae seorang pemikir jepun mengutarakan gagasan Borderless World atau dunia tanpa sempadan yang bermaksud masyarakat seluruh dunia akan punya satu identity sahaja, satu cita dan citra dan satu budaya dan satu citarasa. Bukan kah ini satu proses pemaksaan total sebuah identiti, cita, citra, budaya dan citarasa oleh masyarakat yang kuat ke atas masyarakat yang lemah. Di dalam dua senario yang dibangkitkan di atas memberi indikasi bahawa umat Islam tidak banyak pilihan sama ada bersetuju dan turut serta pola dan acuan zaman yang berada dalam arus perdana berkenaan atau tersisih dan tersingkir. Tambahan pula apabila sentimen Islamapobia dicanang dan gembar gemburkan secara global. Imej Islam dan umat Islam diburukkan seboleh yang mungkin. Sesuatu yang menarik di sini perkara berkenaan adalah suatu “paradox” yang amat menakutkan kembalinya tamadun Islam ratusan tahun. Justeru itu untuk kembali membangunkan tamadun baru untuk umat Islam kita tidak boleh mengambil jalan singkat yang mudah dan bersahaja. Elemen – elemen pembinaan tamadun itu perlu diperkukuhkan.
Muhammad Al-Ghazali di dalam bukunya “Bagaimana berinteraksi dengan Al-Quran” secara sinis menjelaskan dunia pada saat ini telah menderita kehilangan pedoman. Kerana pedoman yang diwarisi oleh umat Islam sejak sekian lama tidak diletakkan pada kedudukanya yang asasi. Bagaimana untuk menyedarkan orang lain jika mereka sendiri sedang bermimpi. Iaitu sejauh mana generasi mudanya terpimpin. Visi ; Membina dan memimpin tamadun khyra Ummah abad 21. Misi : menjadi individu Islam yang komprehensif untuk merealisasikan cita – cita Islamiyyah. Budaya : (1) Menghayati Budaya Ilmu;(2) Menghayati amalan kerohanian; (3)Menghayati Amalan shura dan Amal Jamaie, (4) Memahami dan melibatkan diri pada isu – isu semasa (5) Menghayati Ruhul Jihad Fisabilillah.