Friday, July 31, 2009

“MEMUGAR RISALAH, MEMPERKASA UMMAH”

Oleh
Abdul Manap Mahmud


Alhamdulilah al, assoleh tu wassalam ala rasulilah saw. Wa ala alihi wasahbihi wasalam
YB. Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri, Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Wakil kepada YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri
YB. Datuk-datuk, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri
Yang Berusaha Sdr. Mustapha Sakmud, Timbalan YDP ABIM, Merangkap Presiden MBS selaku Pengerusi Penganjur Seminar Risalah Untuk Kaum Muslimin.
Ketua-Ketua Agensi Penganjur Bersama JHEAINS,BAKIYS, KKBS dan JBS
Yang Berbahagia Dr.Amran Mohammad, Setiausaha Agung ABIM Pusat, Merangkap Wakil Presiden ABIM Pusat
Para-pembentang kertas kerja
Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan persekutuan
Pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil pertubuhan belia
Pimpinan dan ahli Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan
ahli-ahli Majlis Gabungan NGOs Islam Sabah (CONCERN)
Tuan-Tuan dan Puan-Puan
Para Muktamirin, ahli-ahli ABIM, WADAH dan SISMA dari seluruh pelusuk negeri Sabah
Sidang Hadirin-Hadirat

Selamat Datang Ke Seminar Risalah Untuk Kaum Muslimin bersempena dengan Muktamar Sanawi ABIM Sabah ke-27 sesi 2009/10, Assalamualaikum wrh.wbt.



ABIM SABAH SELEPAS DUA DEKAD
ABIM Sabah tampil hampir 27 tahun lalu (1982) sebagai pertubuhan belia dengan idealism cita-cita Islam yang murni, berorientasikan Knowledge base movement bermula dengan kesungguhan meletak dan memperkukuh catatan sejarah peranan Islam dalam pembinaan tamadun dan budaya hidup masyarakat di rantau sebelah sini. ABIM Sabah secara tegas menyatakan Islam telah terlibat secara langsung dalam membina tatacara hidup masyarakat peribumi sejak abad ke-13M lagi. Sekaligus menafikan catatan bahawa sejarah Sabah hanya bermula ketika kemasukan penjajah barat selewat-lewat abad ke-17.

Seawal dekad pertama (1992) ABIM Sabah secara konsisten menyatakan pendirian bahawa dalam konteks kepelbagaian suku-kaum dan budaya di negeri ini Islam perlu ditampilkan sebagai factor pemersatu yang mengikat dan mengangkat umat Islam secara harmoni. Hakikatnya Penerimaan Islam sebagai ad-deen bukan saja telah menyatukan pelbagai suku kaum berdasarkan kesatuan aqidah, syariat, sejarah dan nilai-nilai sejagat malah lebih jauh lagi juga mengikat mereka ke dalam ummatul-wahidah, meningkatkan solidarity ummah dalam masa yang sama menghormati agama-agama lain dan tradisi masing-masing.

Manakala diawal dekad kedua (2000) dalam suasana mendepani dan memasuki gerbang abad-21, ABIM Sabah manyatakan pentingnya agenda pengisian gagasan Sabah baru dan pelan pembangunan insane.. ABIM Sabah secara konstruktif menampilkan diri dan mengangkat pentingnya semua pihak mengikhtiraf peranan gerak kerja dakwah dalam mencorakkan kebaikan ditengah-tengah kerancakan pembangunan fizikal dan infrastruktur. ABIM Sabah berusaha melebarkan jaringan kerjasama, silaturrahim dan smart-partership dalam merencanakan dan merancakkan syiar dan obor kebaikan melewati sempadan agama, ras dan suku kaum. Pada masa yang sama gerakan belia turut diperkasakan dengan elemen Islam yang lebih dinamik dan boleh diterima oleh semua pihak.

Kini selepas lebih dua setengah dekad (2009), ABIM Sabah mengalas taklif idealism berkenaan telah memberi inspirasi dan pengajaran pengalaman yang sarat dengan makna dan hikmah. Melalui pengajaran pengalaman itu menunjukkan bahawa memugar risalah dan memperkasa Ummah di Sabah mesti bermula dengan mengangkat kefahaman yang benar mengenai Islam sebagai agama dan peradaban yang benar dan luhur.

ABIM Sabah amat yakin, bahawa program mendidik aqal dan budi merupakan misi nubuwwah sepanjang zaman berzaman malahan ianya bukan setakat bertahan, membina tasawwur atau pandangan alam yang benar, malah terbukti mampu meledakkan transformasi yang amat signifikan sehinggakan arab jahiliah mampu membangunkan tamadun baru umat Islam seperti kejayaan Nabi Muhammad saw berjaya membangunkan Negara Madinah dan seterusnya futuhatul Mekah. malahan sejarah turut menampilkan pemerintahan khulafa Ar-Rasyidin, khalifah Bani Ummayah dan Kerajaan Bani Abbasiyyah (750 –1258M), Turki Uthmaniyyah (1281–1924M),

YB Datuk/Tuan-tuan/Puan-puan
Disinilah pentingnya seminar ini.
Seminar “Risalah untuk Kaum Muslimin” ini adalah suatu usaha untuk memaham dan menimba khazanah pemikiran dan suluhan keilmuan yang tersurat dan tersirat dalam salah satu karya besar Yang Mulia Profesor Dr.Syed Muhammad Naquib Al-Attas (SMN), iaitu seorang Sarjana Islam berwibawa di Malaysia yang diiktiraf oleh dunia Islam dan dunia Barat.

RUKM ini adalah catatan kata lisan Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas seawal tahun pada tahun 1973, ketika beliau bertugas di UKM sebagai Mahaguru Penyandang Kerusi Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Universiti itu. Manuskrip berkenaan hanya dibukukan pada 2001 (selepas lebih 30tahun), ketika Kaum Muslimin di merata dunia menderitai masalah kekeliruan mengenai Islam yang semakin meruncing, Risalah ini mengemukakan pandangan-pandangan Profesor Al-Attas yang cukup berdaya asli dalam maksud membimbing Kaum Muslimin agar terpimpin ke jalan yang benar. Sebab utama terjadinya keadaan buruk Kaum Muslimin dewasa ini menurut beliau adalah kejahilan masyarakat Muslim itu sendiri mengenai Islam secara yang menyeluruh, iaiatu Islam sebagai agama dan peradaban dan mampu menampilkan ilmu-ilmu Islamiah yang tiada taranya dalam sejarah manusia. Kejahilan mengenai Islam itulah yang telah melenyapkan kesedaran dan tanggungjawab individu dan kaum Muslimin terhadap amanah ilmu dan akhlak dan seterusnya memerangkap mereka dalam pelbagai macam kekeliruan ilmu dan penyelewengan amal hingga mereka terus terbelenggu pada rantai penjajahan pemikiran Kuasa-Kuasa Besar Dunia masakini.

RUKM ini terumus renungan mendalam Prof. Al-attas berkenaan faham-faham utama dalam pandangan hidup Islam yang perlu diketahui oleh Kaum Muslimin seluruhnya. Konsep-konsep penting yang dibicarakan merangkum faham agama, keadilan, ilmu, kebudayaan, kebebasan, akhlak, perubahan, pembangunan, kemajuan, kerasulan, bahasa, pengislaman, kesusasteraan, kesenian, tragedi, akal, dan pensekularan, mengenal asal-usul permasalahan kaum muslimin, pengajaran dan ikhtibarnya, prinisip-prinsip dan konsep-konsep fundamental dalam agama Islam yang telah terabaikan, malahan turut menampilkan Mahraja(jalan keluar) yang praktikal.
Penganjuran seminar ini adalah buat kali pertama di Malaysia dan di Sabah untuk mengangkat dan memberi perspektif tersendiri terhadap karya ini. Harapan untuk mengupas secara menyeluruh kandungan karya berkenaan mungkin dibatasi oleh waktu dan kesempatan tetapi ABIM Sabah berusaha agar karya “Risalah untuk Kaum Muslimin” ini menjadi bahagian terpenting oleh kelompok autoriti, peneraju dasar dan ahli akademik dalam membina polisi dan pandangan alam mendatang.

YB Datuk/Tuan/Puan
Meletakkan seseorang pada kedudukannya yang tepat dan wajar adalah tuntutan keadilan dan tanggungjawab insan beradab. Iqbal pernah berkata bahawa ‘bangsa yang berjiwa besar ialah bangsa yang tahu menghargai pemimpin dan perjuangannya.’ Menurut Syair Arab pula, bangsa yang tahu menilai sejarah punya usia berlipat kali ganda. Dalam menilai sumbangan seseorang tokoh, yang perlu dikenang dan diiktiraf ialah jasa dan sumbangannya yang bermakna, yang luhur lagi agung yang telah mencorakkan perjalanan sejarah, bukan pada cacat cela peribadi atau kelemahan tokoh.

Di atas sandaran-sandaran berkenaan, seminar hari ini berkeyakinan bahawa sumbangan yang bermakna, yang luhur lagi agung perlu dimanfaatkan untuk mencorakkan masa depan masyarakat dan Negara.secara utuh dan menyeluruh.

Akhirnya sekali lagi ABIM mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk bagi pihak Kemterian Belia dan Sukan, seterusnya kepada kerajaan Negeri dan agensi yang terlibat dan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Terima kasih.