Oleh Abu Nadhirah
Penyampaian risalah kebenaran Rasulullah SAW menempuh tribulasi yang bukan alang kepalang. Fitnah dan mehnah merata. Pembesar-pembesar quraysh menggunakan kesemua jentera memburukkan, memboikot, dan memomokkan usaha dakwah membawa Islam ke persada bumi arab.
Tekanan yang tidak berperikemanusiaan digerakkan secara besar-besaran. Bukan hanya Rasulullah SAW sahaja yang menjadi sasaran kafir Quraysh, malah kesemua pengikut yang telah beriman kepada ajaran Islam menjadi sasaran mereka.
Penghijrahan orang-orang Islam begitu terdesak dilakukan akibat asakan kuat dari kaum Musyrik Quraysh, yang bertindak ganas terhadap mereka yg memeluk agama Islam, baik lelaki mahupun perempuan, sejak mula dakwah dimulakan hingga kepenghujung saat hijrah hendak digerakkan.
Antara kegaganasan yg dilakukan oleh mereka ialah menyeksa-kejam Bilal bin Rabah dengan menjerut lehernya lalu diheret oleh anak-anak jalanan, seakan-akan ia seekor binatang, yang kemudiannya dijemur ditengah-tengah gurun yang panas suhunya, hingga kulit dibadan seakan hangus terbakar, dan sebiji telur jika dibiarkan, akan menjadi masak dalam waktu yg singkat. "Ahad! Ahad! [Esa! Esa!] demikian tegas Bilal tanpa memperdulikan desakan supaya beliau menolak Islam sebagai ganjaran melepaskan diri dari penyeksaan sedemikian. Bilal bagaimanapun, diselamatkan oleh Abu Bakar r.a., dengan membelinya sebagai hamba tebusan, dan memerdekakannya sejurus kemudian.
Lebih menyayat dan mengguris hati ialah perbuatan ganas yang dilakukan oleh pembesar Quraysh, Abu Jahal, Ketua Bani Makhzum, keatas seorang perempuan
bernama Sumaiyah, apabila bahagian sulitnya ditusuk dengan lembing hingga maut, dan beliau nyata rela menerima kematian demi keimanan yg amat kental kepada Allah dan RasulNya, daripada meninggalkan Islam, dan kembali semula menyembah berhala. Kematian Sumaiyah, merupakan kematian syahid pertama dalam Islam.
PENGHIJRAHAN DILAKUKAN
SECARA SULIT
Keperitan dan kesengsaraan yg dialami orang-orang Islam itu dimaklumi oleh Rasulullah s.a.w. akan tetapi Rasulullah s.a.w. tiada upaya membantunya disebabkan kedudukannya yg dhaief dan lemah dari pelbagai segi dan sudut, ditambah pula kehilangan ayah saudara, Abu Talib dan isterinya, Khadijah binti Khuwailid, dua tokoh besar berpengaruh lagi disegani, yg sentiasa memberikan dorongan dan sokongan sepanjang usaha gigihnya menyebarkan dakwah.
Demi mengelak orang-orang Islam disengsarai dgn kekejaman dan penyeksaan dahsyat kaum Musyrik Quraysh secara berterusan lagi memeritkan itu, maka jalan keluar yg terlihat dihadapan ialah meninggalkan Makkah dan berhijrah ketempat lain maka Rasulullah s.a.w. memilih Madinah sbg sebuah negeri terbaik utk berhijrah, ekoran penduduk-penduduk Madinah itu sendiri, telah menawar dan bersedia menerima kedatangan orang-orang Islam ke negeri mereka, yang disuarakan sewaktu bertemu-runding dlm suatu perjumpaan di Aqabah.
Penghijrahan itu bagaimanapun, terpaksa dilakukan secara sulit dan rahsia atau menerima penyeksaan serta mati dibunuh jika diketahui oleh kaum Quraysh kelak, dan hakikatnya Rasulullah s.a.w. sendiri turut berhijrah secara sulit dan berhati-hati, ekoran ancaman membunuhnya sebagaimana kata sepakat kabilah-kabilah dan puak-puak kaum Quraysh utk menghapuskannya; dan demi keselamatan diri itulah maka Jibrail a.s. menyampaikan arahan kepada Rasulullah s.a.w. supaya berhijrah dan tidak tidur di rumah pada malam itu, sebagaimana lazimnya.
Umar ibn al-Khattab bagaimanapun, bertindak begitu berani apabila mengisytiharkan pengijrahannya secara terbuka dan terus-terang tanpa berselindung dgn kata-katanya dikhalayak ramai, "Aku hendak berhijrah ke Madinah, siapa yg ingin menghalangku, silakan kehadapan! Tapi ingat, ibunya akan meraung atas kematiannya nanti!".
Ketika Umar r.a sampai di Ka'abah, orang-orang besar Quraysh sedang berkumpul di situ. Tanpa menghiraukan mereka Umar r.a menyempurnakan tawaf dgn mengelilingi Ka'abah sebanyak tujuh kali, dan diikuti dgn solat dua rakaat. Sambil menyandang pedang dan busar yg disangkutkan dibelakang serta anak panah tergenggam ditangan, beliau menghampiri setiap kumpulan dan qabilah pembesar Quraysh itu, dan dengan lantang suara beliau berkata, "Mereka yg berwajah muram, dan ingin melihat ibunya meraung kesedihan, anaknya ditinggalkan yatim, dan isterinya pula menjadi janda, sila menemui aku disebalik lembah ini!" demikian Umar r.a. yg begitu tegas sekali menzahirkan hasratnya, menyebabkan jantung pembesar Quraysh berdebar-debar.
Rasulullah s.a.w. menempatkan Ali r.a. ditempat tidurnya bagi mengelirukan kumpulan pemuda dari pelbagai suku dan qabilah Quraysh, yg menanti diluar dgn misi untuk membunuh; dan selewat dinihari maka Baginda pun keluar melintasi barisan pemuda yg didapati terlena lalu menaburkan pepasir keatas kepala mereka sambil membaca Ayat 1 - 9 dalam Surah Yasin; "يس. والقرآن الحكيم ........... وجعلنا من بين أيديهم سدا ومن خلفم سدا فأغشيناهم فهم لا يصرون" - [Mfhm: "Yaa siin. Demi al-Qur'an yg penuh hikmah … .. .. .. .. (hingga) .. .. .. .. Dan Kami adakan dihadapan mereka
dinding dan dibelakang mereka dinding, dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat].
Rasulullah s.a.w. bergegas kerumah Abu Bakar r.a., yg sudah pun sedia menanti ketibaannya, dgn mengadakan persiapan terpenting iaitu unta kenderaan selain keperluan asas lainnya; dan seterusnya berlepas segera ke Gua Thaur, di penghujung bulan Safar Tahun Gajah, dgn Abu Bakat r.a. sendiri sebagai teman hijrah, dan setiba di Gua Thaur mereka bersembunyi tiga malam, sebelum kedua-duanya bergerak-lepas ke destinasi yg hendak dituju iaitu Madinah, sesudah tiga belas tahun lamanya memperjuangkan tawhid, dan mengajak masyarakat Makkah menolak syirik.
KASIH SAYANG ABU BAKAR
Ketika menghampiri Gua Thaur, kaki Baginda Rasulullah s.a.w. didapati menitiskan darah akibat batu krikil tajam yg terdapat dikaki bukit, suatu keadaan yg mengharukan Abu Bakar r.a. lalu beliau mendukong Baginda Rasulullah s.a.w. hingga kepintu masuk Gua Thaur itu. Sebelum membawa masuk Rasulullah s.a.w. maka Abu Bakar r.a. terlebih dahulu menentukan bahwa kawasan Gua selamat dihuni, dan tiada binatang berbahaya bersembunyi di dalamnya.
Dgn menggunakan robekan kain bajunya, Abu Bakar r.a. menutup lubang-lubang yg memungkinkan tersembunyinya kalajengking, ular atau serangga berbisa, dan setelah yakin barulah Abu Bakar r.a. membawa masuk Rasulullah s.a.w. kedalam, dan seketika kemudian, Baginda tertidur lena oleh keletihan.
Sekalipun bagitu teliti dan prihatin namun seekor ular kecil yg sangat berbisa, telah terlepas dari perhatian Abu Bakar r.a., dan berjaya keluar dari timbunan pepasir lalu mematuk tumit Abu Bakar r.a. Kepedihan bisa dari patukan ular itu, amat memeritkan sekali namun Abu Bakar r,a, menahan kesakitan itu bagi mengelak Rasulullah s.a.w. terjaga dari kelenaannya.
Sejurus kemudian, Abu Bakar r.a. merasa dirinya menggigil lemah akibat keracunan bisa ular itu, yg menyerap masuk kedalam tubuh badannya melalui saluran darah dan urat saraf. Disebabkan tidak terdaya mengalami kesakitan dari keracunan bisa maka Abu Bakar r.a. menangis, dgn titisan airmatanya yg hangat itu membutir jatuh kepipi Rasulullah s.a.w. yg sedang terlena diatas pangkuannya.
Rasulullah s.a.w. terkejut bangun ketika merasai kehangatan titisan airmata Abu Bakar r.a. lalu bertanya, "Apa yg terjadi?". "Saya dipatuk ular," ujar Abu Bakar r.a. Pengorbanan suci yg terlahir dari kekentalan iman dan kegembiraannya terpilih sbg teman hijrah Rasulullah s.a.w., Abu Bakar r.a. berupaya memperkasa diri dgn kekuatan dan ketahanan ketika menghadapi keracunan bisa yg memeritkan itu.
Melihatnya, Rasulullah s.a.w. mengambil sedikit air lidahnya, dan menyapu pada bahagian yg dipatuk ular tadi, dan sesegra itu, dgn izin Allah, bengkak dikakinya susut-pulih seperti sediakala, dan keracunan bisa menghilang pergi.
KOMPLOT QURAYSH MEMBURU
Penghijrahan Rasulullah s.a.w. menimbulkan kemarahan orang-orang Quraysh terutamanya Abu Jahal lalu mereka memburu Rasulullah s.a.w. sesudah para pemuda gagal membunuhnya dirumah Baginda sendiri, dan tidak pula menemuimnya dirumah Abu Bakar r.a.
Gua Thaur, tidak begitu luas dan tidak pula begitu dalam ruang lorongnya maka Allah menghidup-tumbuhan dedaun rimbun setinggi paras manusia, yg disebut "Ummu'l Ghilan", terletak anjak sedikit dari pintu gua, sekadar menutup pandangan orang. Kemudian Allah s.w.t. memerintah lelabah membuat bebenang diantara ranting dan dedaun tadi; mencipta deduri halus disisir gua, dan sepasang burung merpati liar bersarang dan bertelur dibahagian pintu masuk.
Ramai sekali orang-orang Quraysh ingin memburu Rasulullah s.a.w., yg didorongi oleh tawaran menarik iaitu 100 ekor unta betina sbg ganjaran bagi sesiapa yg dapat memberkas Rasulullah s.a.w. Sekalipun komplot Quraysh itu sampai dipintu Gua namun mereka tidak menduga Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar r.a. bersembunyi di dalamnya ketika melihat keadaan pintu Gua yg sarat diselubungi selaput sarang lelabah, dedaun rimbun, sesarang burung dan deduri tajam.
"Tidak ada siapa pun dlm Gua ini," kata Umaiyah bin Khalf ketika rakan-rakan lainnya hendak memasuki pintu Gua. "Lihatlah benang labah-labah itu, sudah lama usianya; melihat sarang begini, tidak syak lagi usianya mengatasi usia orang yg kita buru sekarang! Macam mana Muhammad boleh masuk kedalam tanpa merempuh sarang burung dan benang labah-labah itu? Lihat burung itu! Takkan telur itu tidak hancur jika Muhammad masuk!"
Kehadhiran komplot Quraysh yg begitu hampir dipintu Gua sehingga suara mereka kedengaran jelas, amat membimbangkan Abu Bakar r.a. atas nasib yg akan menimpa Rasulullah s.a.w. kelak. Lantas Abu Bakar r.a. berbisik dipendengaran Rasulullah s.a.w. dgn berkata, "Andainya mereka menjenguk pintu Gua melalui celah-celah kaki mereka, tentunya mereka akan melihat kita!". "Wahai Abu Bakar! Jangan gusar! Kita 'ni bukan berdua, Allah bersama kita," kata Rasulullah s.a.w.
Kata-kata Umaiyah itu diyakini ahli komplot lainnya jadi mereka membatalkan niat utk memasuki dan mencari Rasulullah s.a.w. didalam Gua itu, namun Abu Jahal mengesyaki semacam ada keyakinan bahawa mereka berdua sebenarnya begitu hampir dikesani lalu meluahkan kata-kata, "Aku yakin musuh kita tidak jauh dari sini, dan mereka sedang memerhati kita, tapi mata kita dikaburi dgn sihirnya". Bagaimanapun, akhirnya mereka pulang hampa tanpa menyedari bahwa keduanya dilindung-pelihara Allah yg berfirman: "وإذ يمكر بك الذين كفروا ليثبتوك يقتلوك أو يخرجوك ويمكرون ويمكر الله و الله خير الما كرين" – الأنفا ل :30 أو [Mfhm: "Dan (ingatlah) bagaimana orang-orang Qurayhy memikirkan tipu daya terhadapmu (Muhammad) utk menangkap, memenjara, membunuh atau mengusirmu; mereka membuat tipu daya, dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka) itu; Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya"].
PENGHIJRAHAN ABU BAKAR R.A.
MENURUT ANAK PEREMPUANNYA, ASMA'
Menurut Asma', anak perempuan Abu Bakar r.a., "Apabila Rasulullah dan Abu Bakar pergi, sebilangan orang Quraisy, termasuk Abu Jahal, datang mencegah dipintu rumah kami. Apabila saya keluar, mereka tanyakan dimana ayah saya, dan bila saya jawab tidak tahu, Abu Jahal, seorang yg kasar tingkah laku, menampar saya sekuat hati sehingga anting-anting saya terlucut keluar. Kemudian mereka pun pergi, dan kami tidak mendengar apa-apa berita selama tiga hari, sehinggalah terdengar suara irama syair yg dilagukan oleh jin yg menyamar sebagai manusia biasa dgn bait: Allah, Tuhan manusia yg menganugerah sebaik-baik anugerah kepada sahabat Umm Ma'abad berehat dikhemah. Datang tiba berhati suci – berlalu pergi jelmaannya malam. Berbahagia Muhammad pengikut serta. Wanita Banu Ka'ab tempatnya bertuah. Menyusur-cari kumpulan bertaqwa.
Menurut Asma' , "Mendengar kata-kata itu, tahulah kami bahawa mereka sedang meneruskan perjalanan ke Madinah; terdiri daripada empat orang iaitu Rasulullah, Abu Bakar, Amir dan Abdullah bin Uraiqat, pemandunya."
Seterusnya Asma' mengisahkan, "Sewaktu berlepas dgn Rasulullah s.a.w, Abu Bakar membawa bersamanya antara lima hingga enam ribu dirham. Datuk saya, Abu Kahafah, yg hilang penglihatan, memberitahu kami dan membebel mengatakan Abu Bakar membuat kami susah kerana mengambil semua wang simpanan. Saya katakan bahawa Abu Bakar meninggalkan wang yg banyak lalu saya letakkan beberapa ketul batu kedalam ruang tempat Abu Bakar lazimnya menyimpan wang."
"Batu-batu itu saya litupi dgn kain, dan kemudian itu, saya pegang tangannya sambil berkata, "Ambillah wang ini dgn tangan datuk, tidak ada yg hendak dibimbangkan." "Baguslah dia tinggalkan ini semua; engkau mempunyai wang yg cukup," katanya dgn yakin. Hakikatnya, ayah saya tidak meninggalkan kami apapun; dan apa yg saya lakukan itu sekadar menghilangkan kerisauannya," demikian Asma' mengakhiri kisahnya,
SURAQAH: GHAIRAH MEMBERKAS;
KUDANYA TERBENAM.
Antara ramai orang Quraysh yg ghairah memberkas Rasulullah s.a.w., ialah Suraqah bin Malik, keghairan itu disebabkan tawaran pembesar-pembesar Quraysh yg cukup menarik iaitu ganjaran sebanyak 100 ekor betina kepada sesiapa yg berjaya memberkas Rasulullah s.a.w. Suraqah bertindak bersendirian supaya ganjaran yg diperolehi kelak, tidak diperkongsikan dgn sesiapa pun.
Suraqah keluar dimalam hari utk mengekori jejak Rasulullah s.a.w., dgn membawa khadamnya, dan ketika begitu hampir dgn Rasulullah s.a.w., ia melompat keatas pundak kuda dari punggong unta yg ditunggangi mulanya lalu bergegas kehadapan dgn meninggalkan khadamnya dibelakang.
Kata Suraqah, "Kuda tungganganku memang sihat dan segar; tidak ditunggangi beberapa hari yg lalu, dan umum mengetahui tentang kepantasannya yg sangat hebat. Aku menyiap-siagakan kudaku! Sesudah menggerakkan kaki beberapa langkah dgn lompatan, tiba-tiba tapak kaki kudaku terlekat ditanah lalu jatuh tersungkam, dan aku sendiri tercampak dari pundak kuda."
"Aku teruskan hasrat dgn menunggangi semula kudaku, dan bergegas menghampiri lebih dekat, dan ketika begitu hampir-dekat, Nabi didapati membaca al-Qur'an; tapi aku terkejut mendapati suara tapak kudaku tidak sedikitpun mencemaskannya," ujar Suraqah, "malahan menoleh pun tidak, sebaliknya Abu Bakar memerhati sekeliling, dan kelihatannya gusar namun tenang; apapun, dengan beberapa langkah lagi, aku sudah bertentangan dgn mereka."
"Tiba-tiba, kaki kudaku terbenam keperut bumi hingga kelutut, sekalipun nyata sekali dasar tanah itu keras; aku terhumban diatas kepala kuda itu sambil menghayun sebatan supaya kudaku itu berdiri tegak, tapi gagal," katanya lagi. "Daya usahaku tidak mendatangkan kesan malah kuda itu semakin terbenam kedalam bumi hingga keparas perutnya. Sementara itu, kelihatan gumpalan debu dan pepasir berputar gulung dari ruang lubang dimana kuda itu terbenam. Tiba-tiba aku begitu ketakutan," demikian kata Suraqah.
"Wahai Muhammad!' rayu Suraqah, "saya mohon belas ihsan! Saya akan membawakan berita yg akan mengelirukan mereka yg mencarimu; tapi mohonlah doa kepada Allah supaya kuda saya ini diselamatkan!", rayunya lagi. Muhammad
Rasulullah s.a.w. mengangkat kedua tapak tangannya sambil mendoa, "Ya Allah! Sekiranya Suraqah ini jujur, mohonlah kudanya ini diselamatkan."
Sambung Suraqah, "Sejurus selesai membaca doa, tanah keras yg mencengkam kaki kuda itu menjadi lembut dan longgar lalu kudaku berdiri tegak dgn mudahnya. Aku mendekati mereka dan menawarkan perkongsian senjata dan bekalan makanan, tapi mereka menolak kerana tidak mahu menerima pemberian dari orang-orang yg tidak beriman, mereka meminta aku supaya beredar dan meninggalkan mereka!."
"Dalam hematku," kata Suraqah , "Muhammad akan beroleh kuasa akhirnya; dan sesampai di Makkah, aku beritahu kepada khadamku dan orang-orang Makkah seluruhnya, yg mengetahui pemergianku, dgn mengatakan aku tidak jumpa sesiapa pun; aku kesali, tawaran menyebabkan aku terdorong membuat kerja yg sia-sia."
RASULULLAH S.A.W. TIBA DI MADINAH
Sebelum sampai tiba di Kota Madinah, Rasulullah s.a.w. terlebih dahulu menginap di Quba selama tiga malam dimana Baginda disambut meriah oleh penduduk-penduduknya. Di Quba', Rasulullah s.a.w. membina sebuah Masjid, yg dikenali sebagai Masjid Quba', dan merupakan Masjid pertama dan terulung bagi kaum Muslimin.
Sesudah menginap tiga malam maka keesokannya iaitu hari Jumaat, Rasulullah s.a.w. bersama rombongan yg mengiringinya, berlepas ke Kota Madinah. Waktu solat sampai ketika tiba diperkampungan Bani Salim bin Auf maka Baginda turun dari kenderaan dan menunaikan solat Jumaat yg pertama dlm sejarah Islam, dgn diikuti oleh ramai kaum Muslimin, yg berpakaian kemas dan menarik.
Beliau meneruskan perjalanan dan sesampai disebuah kawasan, yg dikenali sbg "Zawatu'l-khidar" maka Baginda disambut lebih meriah oleh penduduk-penduduknya, termasuk kaum wanita dan golongan kanak-kanak, dan mereka beramai-ramai mengumandangkan nasyid yg indah susunan baitnya:
Sesudah 320 KM jauhnya pengembaraan diredahi maka Rasulullah s.a.w. sampai tiba di Kota Madinah pada 22hb Rabi'ul-awal, yg memakan waktu kira-kira hampir sebulan lamanya, dan penghijrahannya ke Madinah itu, merupakan kemuncak permulaan peralihan dan anjakan perjuangan dlm menegakkan kemurnian dan keagungan syi'ar Islam melalui tindakan penyusunan masyarakat yg berwibawa, berhemah dan bermaruah. Hakikatnya, penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan para pengikutnya dari Makkah ke Madinah itu, mengandungi hikmah tersendiri, antaranya:
* peralihan kedudukan yg lemah, hina dan tersiksa oleh tindakan ganas kaum
Quraisy kepada suatu kedudukan yg kukuh dan ampuh sehingga berupaya
bertindak balas keatas setiap ancaman yg mendatang.
* peralihan kedudukan sbg golongan minoriti yg tertekan dan tertindas kepada
tahap kedudukan Ummah yg memiliki kuasa, yg perlu disegani dan dihormati,
khususnya mereka diluar Islam.
* peralihan pelaksanaan dakwah yg mulanya digerakkan secara individu dgn
liputan kawasan terhad sekitar Makkah kpd pergerakan dakwah yg lebih
luas kawasannya, merangkumi alam dunia dan golongan manusia pelbagai
lapisan, yg digerak-susun melalui sebuah pemerintahan yg diterajui oleh Islam.
* ikatan ukhuwah Islamiyah dikalangan kabilah Khazraj dan Aus kian erat, dan
hubungan tali persaudaraan diantara orang-orang yg berhijrah dari Makkah, yg
dikenali sebagai Al-Muhajirun dan penduduk-penduduk Madinah sbg Al-Ansar,
menyerlah kukuh, bilamana golongan Al-Ansar begitu ghairah menghulur
bantuan sementara golongan Muhajirun begitu teruja melihat semangat
persaudaraan Al-Ansar yg diperlihatkan sebegitu tinggi dan mulia.
* Sebagai anak dan warga keturunan Quraisy maka Rasulullah s.a.w. berhak utk
kembali semula ke Makkah, tanah kelahirannya bagi mengambil alih
pentadbiran, dan meletakkan Islam sebagai asas peraturan dan perundangan
Negara. Penghijrahan Rasulullah s.a.w. ke Madinah, sesungguhnya membuka
ruang baginya menyusun sof perjuangan utk mengambil semula hak yg
dilucutkan itu.
Demikian cebisan sejarah hijrah yg perlu diingati dan dihayati agar imbauan kita senantiasa segar, yg diiringi dgn kesedaran dan keinsafan betapa Rasulullah s.a.w. dan para pengikutnya terdahulu, menghadapi keperitan dan penderitaan hidup ketika menyebar dakwah ketauhidan Allah s.w.t. Pengorbanan mereka begitu besar ertinya, dan hasil perjuangan mereka itulah maka kita hari ini beruntung menerima dan menikmati Islam dlm suasana sebegini selesa – kepada mereka para pelopor perjuangan Islam, dipohonkan rahmah dan maghfirah, dan hendaknya mereka itu dimasukkan kedalam golongan al-anbia' as-siddiqien dan as-syuhada as-solihin, dgn syurga sbg ganjarannya! Amin!