Saturday, July 5, 2008

Ketokohan Imam Al-Ghazali Dan Relevansinya Dalam Konteks Semasa

Ketokohan Imam Ghazali dan Relevansinya Dalam Konteks Semasa

Mohd. Zikri Zainuddin  #

Pada 15 April 2008 lalu, bertempat di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Likas, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah telah menganjurkan Seminar-Dokumentari  Al-Ghazali: The Alchemist of Happiness sempena sambutan Maulid Rasul 1429H Peringkat Negeri Sabah. Seminar tersebut adalah salah satu simbol manifestasi dan solidariti umat Islam di negeri Sabah untuk memperkasakan warisan khazanah nubuwwah dan menggali iktibar serta pengalaman ilmuan Islam sepanjang zaman dengan menelusuri sejarah dan perjuangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.  

Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, mantan Timbalan Pengarah ISTAC selaku Pengucap Utama telah mengupas ketokohan dan sifat-sifat mulia al-Ghazali yang wajar dijadikan contoh teladan bukan sahaja oleh para belia tetapi juga oleh semua lapisan masyarakat. Ketokohan al-Ghazali sebagai Hujjatul Islam bukan sahaja relevan dan terserlah semasa zamannya tetapi juga dalam konteks semasa. Dalam catatan ringkas ini, beberapa isi penting syarahan tersebut ingin dikongsi dengan pembaca, mudah-mudahan memberi banyak manfaat.

Kemiskinan Bukan Penghalang Kejayaan

Sejarah hidup Hujjatul Islam al-Ghazali, terutama masa kecilnya yang hidup sebagai yatim dan miskin, membuktikan bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk berjaya dalam kehidupan. Bahkan beliau sendiri pun tidak pernah menyangka bahawa suatu masa nanti beliau akan menjadi mutiara yang bersinar dalam bidang keilmuan. Bapanya hanya bekerja sebagai pemintal kapas penenun kain dan meninggal dunia ketika al-Ghazali masih kanak-kanak lagi. Dalam kesukaran hidup, ditambah dengan keadaan umat Islam yang berpecah-belah dalam pelbagai mazhab dan aliran pemikiran, al-Ghazali bersama saudaranya Ahmad telah dihantar kepada seorang guru untuk mempelajari pelbagai bidang ilmu. Al-Ghazali telah berusaha keras untuk mencapai kejayaan dengan tidak pernah kenal erti putus asa dan akhirnya telah memberi sumbangan besar kepada keilmuan Islam. Al-Ghazali, dulu dan kini dikenali sebagai `ulama pewaris nabi’ yang merupakan salah seorang ilmuan yang paling besar pengaruhnya, paling tinggi akhlak dan budinya, dan paling berani dalam perjuangannya. Tanpa kehadiran tokoh-tokoh besar seperti al-Ghazali, ajaran al-Quran yang agung dan hadith Nabi boleh mengelirukan kerana kadang-kadang ia bagai terpendam dalam lumpur dan hanya dengan kehadiran para ulama pewaris nabi sahaja ajaran agung itu digilap dan diangkat semula sebagai mutiara untuk menjadi panduan kepada umat Islam. Prof. Wan menekankan bahawa dari mana kita datang, tidak membataskan peluang kita membangunkan masyarakat, bangsa dan negara untuk dirangkumkan bersama pewaris para anbiya.

Ilmu Terletak di dada, Bukan di buku

Daripada kisah kehidupan Hujjatul Islam ini, terdapat satu iktibar yang boleh diambil dan dijadikan pengajaran dalam kehidupan. Kebanyakan masyarakat kita masa kini hanya meletakkan ilmu itu secara fizikal tetapi tidak meletakkan ilmu yang dipelajari itu secara ruhaniyyah yakni dengan benar-benar memahami ilmu yang dipelajari dan dipraktiskan dalam kehidupan. Ilmu adalah unsur yang ada dalam diri ruhaniyyah manusia dan harus diletakkan semula dalam diri ruhaniyyah manusia itu agar ilmu yang dipelajari menjadi makna yang dapat menyuluh manusia ke jalan kebenaran.

Prof. Wan menceritakan kisah ketika al-Ghazali sedang menuju ke kota Quf untuk balik ke kampung halaman, beliau telah dirompak oleh sekumpulan perompak dan apabila perompak itu memeriksa beliau, perompak itu mendapati al-Ghazali hanya mempunyai buku-buku dan kemudian buku tersebut dirampas oleh perompak tersebut lalu perompak tersebut menegur Al-Ghazali bahawa ilmu yang dipelajarinya cuma terletak di buku, “ilmunya bukan di dada tetapi pada kertas!”.

Sejak daripada itu, al-Ghazali bertekad menghafal semua kitab yang dipelajarinya dan dengan bersungguh-sungguh beliau berjaya dan memahami apa yang dihafalnya. Prof. Wan menafikan dakwaan bahawa hafalan tidak penting kerana hafalan  merupakan satu kaedah penting dalam mencerdaskan akal fikiran dan mengukuhkan kewibawaan yang dimiliki oleh para tokoh besar dalam segala bidang, malah bagi seorang doktor, peguam, hakim. Hatta ketika majlis akad nikah pun, lelaki harus ingat nama bakal isterinya!

Keikhlasan dan Kegigihan Melakukan Sesuatu

Al-Ghazali telah dilantik menjadi ilmuan besar di Baghdad dan mempunyai seribu pelajar yang bijak. Sepanjang beliau menjawat jawatan menjadi profesor di Universiti Nizamiyyah di Baghdad, beliau sentiasa mencari kebenaran dan kebahagiaan hakiki. Suatu ketika beliau telah membaca kutipan himpunan khutbah Sayyidina Ali karamallahu wajha yang membuatkan beliau berfikir tentang kata-kata Sayyidina Ali, “Hidup ini seperti bayang-bayang, janganlah kamu selalu terperangkap dengan kehidupan yang sifatnya seperti bayang-bayang ini dan ingatlah tentang kebahagiaan yang sebenarnya apa yang sebenarnya penting dalam hidup ini”. Beliau yang telah menyedari akan makna kehidupan sebenar kehidupan lalu mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Kemudian beliau merantau dan mengembara ke pelusuk negara Arab seperti Jerussalem, Damascus dan Hijaz untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang seperti  falsafah, kalam, fuqaha dan batiniah serta mengkaji kekuatan dan kelemahan masing-masing. Sepanjang pengembaraannya, beliau telah menghasilkan beberapa karya  dan salah satu karya penting itu ialah Ihya Ulumuddin dan kemudian beliau mendidik masyarakat mencapai makna kebahagiaan hakiki dan mengajar tentang Islam.

            Menurut Prof. Wan, al-Ghazali ditohmah, difitnah dan disalah tafsir bahkan hingga ke hari ini oleh orang Islam sendiri bahawa al-Ghazalilah yang membuatkan umat Islam terperosok ke alam tasawuf hasil tulisan beliau berhubung makna sebenar kebahagiaan dalam kitab Ihyanya itu, bahawa dialah juga punca umat Islam bermazhab Sunni bersikap anti falsafah, anti pemikiran dan anti saintifik kerana kejayaan beliau menunjukkan kesilapan-kesilapan beberapa tokoh besar dalam bidang falsafah Islam yang dipengaruhi pemikiran Yunani. Al-Ghazali juga difitnah kerana meninggalkan masyarakat dan keduniaan semasa beruzlah, malah tidak menulis pun tentang peperangan Salib yang berlaku pada zamannya itu. Di sebalik semua itu, al-Ghazali kembali kepada masyarakat, mengajar ilmu dan akhlak, kefardhuan mencari kebenaran dan kebahagiaan, logik dan falsafah.

Pembuka Jalan Kemenangan dan Ketamadunan

Namun jika kita melihat catatan sejarah, Salahuddin al-Ayyubi yang berjaya menakluk Jerussalem pada tahun 1148M secara langsung belajar daripada Abdul Kadir Jailani yang merupakan anak murid kepada al-Ghazali, dan pada masa yang sama mempunyai penasihat yang merupakan anak murid kepada al-Ghazali. Persiapan akliah dan ruhaniyyah ini  telah ditanam selama 40 tahun lebih awal melalui kurikulum pendidikan al-Ghazali.  Maka apabila Salahuddin al-Ayyubi menyerukan kesatuan dan perpaduan, umat Islam tanpa bertangguh bersedia menyahut seruannya sekali pun masih berbeza aliran dan mazhab.

Dalam hal ini, Prof. Wan menegaskan bahawa kejayaan fizikal, jasadi dan ekonomi adalah bersifat sementara tetapi kejayaan yang dicetuskan oleh para ilmuan dan para anbiya adalah bersifat kekal abadi yang berpaksikan akal yang telah menemui ilmu yang meyakinkan. Walaupun barangkali berada dalam keadaan miskin, kalah, berpecah belah dan minoriti tetapi masih mampu membezakan yang benar dan yang salah dan ini membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan sebenar.  

Kejayaan tamadun besar Andalusia adalah merupakan satu simbol kejayaan  umat Islam membangun tamadun yang bukan sahaja bersifat hebat dan tinggi tetapi bersifat multicultural, multiplural yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama yang hidup aman tanpa persengketaan dan semuanya membangun dengan saksama. Kejayaan ini didorong oleh kehadiran para ilmuan yang telah berguru dengan al-Ghazali seperti Ibnu Tumard yang telah menubuhkan gerakan al-Muwahidun yang telah membangunkan kerajaan yang telah melahirkan ilmuwan seperti Ibnu Haizam, Al-Qurtubi, Ibnu Arabi, Ibnu Rusyd dan banyak lagi tokoh Islam. Ini boleh digambarkan seperti seorang pemimpin yang berguru dengan pemikir besar mampu untuk membangunkan tamadun agung tetapi jika pemimpin itu berguru dengan orang kerdil maka dia mungkin memusnahkan tamadun yang agung.

 

Ikhlas dan berani

Al-Ghazali merupakan seorang cendikiawan yang ikhlas dan berani. Sekembalinya dari uzlah selama 10 tahun itu, beliau memilih bekerja sebagai penulis khat dan mengajarkan khat ketika beliau tinggal di Tus di luar kota Baghdad sebagai punca sara hidup keluarga. Beliau ditawarkan oleh Sultan Baghdad untuk berkhidmat semula di Baghdad tetapi beliau menolak dengan baik kerana berpendapat  beliau mempunyai amanah yang lebih besar di kampungnya. Beliau cuba membebaskan dirinya daripada terbelenggu dengan desakan-desakan yang dapat menjauhkan akalnya daripada menulis untuk memberi amaran kepada sultan, mengkritik ulama-ulama yang duniawi, mengkritik golongan ahli falsafah yang menyeleweng.

Al-Ghazali amat menghormati para tokoh besar dalam pelbagai bidang, namun dia tetap mengkritik apa yang difikirkannya sebagai menyeleweng. Sebagai contoh, Ibnu Sina yang sebenarnya menyeleweng dalam beberapa perkara akibat terperangkap dengan faham-faham dari Yunani telah dikritik keras oleh al-Ghazali sendiri secara tajam. Sumbangan Ibnu Sina dalam bidang perubatan diiktiraf oleh al-Ghazali namun beliau melihat beberapa idea  berbahaya hasil pengaruh pemikiran Yunani yang meresap dalam kalangan ahli filsafat Islam termasuk Ibnu Sina. Di antaranya adalah ahli-ahli filsafat Islam itu berkata bahawa; pertama, Allah swt mencipta makhluk tanpa adanya kudrat untuk menyekat makhluk-Nya, kedua, alam tabie ini bersifat abadi (qadim), dan ketiga, Allah tidak mengetahui perkara-perkara yang kecil (juz`iyyat).

Nyatalah al-Ghazali bersifat memilih dalam mencari ilmu. Beliau tidak menolak semua pemikiran yang datang dari Yunani atau luar dan beliau mengkritik ulama yang menolak pemikiran itu semata-mata kerana datangnya dari luar. Beliau memilih pemikiran yang baik yang boleh dimanfaatkan dan akan menyingkirkan pemikiran yang salah dan mengelirukan. Sebagai contohnya, beliau sangat menghormati pemikiran Plato dan Aristotle tetapi mengkritik ajaran metafizik Plato dan Aristotle.

Beliau juga menghormati golongan tasawuf serta menganjurkan bahawa ilmu tasawuf adalah salah satu ilmu yang paling tinggi berdasarkan kepada akal dan pengalaman kerohanian. Tetapi beliau juga mengkritik golongan tasawuf yang anti syariah, yang anti ilmu pengetahuan. Beliau juga mengkritik golongan muhaddithun yang hanya mengganggap bahawa ilmu hadith sahaja yang benar, mengkritik golongan fuqaha yang sentiasa berkelahi sesama sendiri, dan golongan ulama yang rapat dengan pemerintah yang zalim.

Selain meninggalkan kemahsyuran dan kekayaan di Baghdad, keikhlasan beliau juga dapat dicontohi apabila beliau sendiri telah menulis satu kitab yang memperlihatkan pengalamannya sendiri dalam mencari kebenaran. Beliau mengkiritk dirinya sendiri dalam kitabnya Penyelamat Daripada Kesesatan yang menceritakan bagaimana beliau sendiri menjadi keliru dalam mencari makna kebahagiaan hakiki.

Syarahan bernas Prof. Wan telah mempermudahkan dan meluruskan kefahaman hadirin tentang jalan cerita Al-Ghazali: The Alchemist of Happiness. Isu-isu yang dibawa oleh Prof. Wan  juga mudah difahami oleh peserta termasuklah pelajar sekolah menengah untuk dijadikan iktibar dalam kehidupan seharian.  Dan, penjelasan  beliau juga, telah berjaya menjawab beberapa kekeliruan dan persoalan yang  dikemukakan oleh hadirin yang berligar di sekitar tohmahan dan fitnah terhadap keperibadian, karya dan kurikulum pendidikan al-Ghazali. Menurut beliau,   al-Ghazali seperti kebanyakan ilmuan ulung lain termasuk di Kepulauan Melayu ini seperti Nuruddin al-Raniri, Sheikh Daud al-Fatani dan Arshad al-Banjari tidak membataskan keutuhan sesuatu hadith kepada nilai isnad semata-mata tetapi meliputi kriteria-kriteria lain yang lebih komprehensif.

 # Mohd Zikri Zainuddin adalah Ketua Biro Siswazah Muda ABIM Negeri Sabah