Tuesday, February 17, 2009

Penegasan Semula Prinsip-Prinsip Asas ABIM

Oleh Abdul Manap bin Mahmud
YDP ABIM Sabah
Tarbiyyah ABIM perlu menekankan kefahaman yang hakiki, utuh dan menyeluruh tentang ilmu yang benar mengenai Tasawwur Islam (pandangan alam Islam). Iaitu bagaimana Islam itu ditanzilkan dan seterusnya hubungan Islam dalam kehidupan. Islam wajib dihidupkan dalam diri, keluarga dan masyarakat. Pandangan alam Islam yang benar lagi dinamik ini disuburkan menerusi ‘well organize small discussion group’ – halakah ilmu, Diskusi Ilmu iaitu USRAH. Di dalamnya disatukan pengisian Ilmu, rohaniah, isu-semasa, kefahaman ruh al-jihad, memahami syura dan amal jamaie.
Dinamika ABIM kerana bercirikan gerakan Intelektual, dengan motto ”Menegakkan kebenaran dan keadilan” ini disandarkan melalui asas-asas ”knowledge base orientation”. Pada masa yang sama menyuburkan pembudayaan ilmu dalam masyarakat. ABIM berusaha untuk menolak jauh pendekatan yang berasaskan semangat tanpa ”substance”. Kerana ia membuka ruang kritikal dan merupakan petunjuk kelemahan organisasi. Prinsip non-partisan, iaitu dasar tidak memihak dalam membuat sesuatu keputusan dan pandangan telah dipertahankan sejak ditubuhkan. Setiap pandangan dan pendirian ABIM bersandarkan kepentingan ummah secara keseluruhan. Justeru itu pendirian berkenaan ada kalanya sama dan kadang-kadang berbeza dengan pihak lain. Gerakan Intelektual perlu ilmu bertambah melalui diskusi, jejak ulama, jejak ilmuan, R&D, dan sentiasa melakukan muhassabah. Menegakkan kebenaran dan keadilan dengan meningkatkan daya sedar diri umat, harga diri dan maruah diri umat.
Idealisme ABIM berasaskan perjuangan untuk Mengangkat Martabat Ummah (Umat Islam). Idealisme adalah cita-cita murni lagi luhur yang lahir dari kesedaran yang amat benar dari dalam diri. Idealisme lebih tinggi dari motivasi. Idealisme perjuangan mengangkat martabat ummah ini diasaskan kepada kaedah-kaedah yang betul dan muktabar sesuai dengan pandangan jumhur para ulama. Bukan menggunakan pendekatan Machavelli ”the end justify the mean”. Kerana idealisme ini menjadikan ABIM selalu dalam keadaan sanggup tidak popular untuk kebenaran dan keadilan. Bagaimana nak mengangkat martabat ummah. Bermula dengan mengetahui dengan tepat dimana milestonenya. Oleh itu semua kandungan resolusi dan hasil-hasil buah fikiran ABIM perlu direkodkan dan didokumentasikan. Seperti sejauhmana ABIM Sabah dengan gerakan massa, sumbangan dalam membina persepsi awam tentang sesuatu dan sumbangan ABIM dalam pendidikan.
Gerak kerja ABIM berpaksikan gerakan dakwah. Gerakan dakwah adalah salah satu misi besar pengutusan para-anbiya ke atas muka bumi ini. Dakwah bukan sekadar aktiviti yang bersifat musiman, tetapi suatu gerakan dinamik, konstruktif dan optimistik (melihat sesuatu dari sudut yang positif). Sentiasa bersedia berhadapan dengan perubahan untuk terus relavan menghadapi madhu (sasaran dakwah). ABIM melakarkan strategi dakwah dengan mendahulukan pendekatan membaca suasana dari pelbagai perspektif secara kritikal, objektif, memahami dan menerima realiti sejarah sebelum sesutau tindakan atau keputusan dilakukan. Memahami sasaran dakwah secara tuntas berorientasikan Manhaj Malazie (Pendekatan kemalaysiaan, yang menjiwai hati nurani, cita dan citra budaya tempatan dan setempat). Di samping aktiviti dakwah, aspek perancangan awal, post-mortem, tindakan susulan pula berada pada sisi lain yang perlu diambilkira.