Dr.Majid Irsan Kaylani dalam buku beliau "Hakadha Zahara Jailu Salahu Al-Din Wa Hakadha 'Adat al-Quds"(2000, IIIT) yang diterjemahkan oleh ABIM dan Thinker Library (2009) berjudul Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam amat baik ditelusuri. Buku setebal 433 itu dibahagikan kepada enam bab utama. Bab pertama mengangkat tema pola pemikiran umat Islam sebelum serangan tentera salib, bab kedua membincang pengaruh kegiatan intelektual dalam masyarakat Islam, bab tiga mengetengahkan awal gerakan islah dalam dunia Islam, bab empat membincang sekitar penyebaran gerakan islah di dunia Islam, bab lima menilai kesan dan pengaruh gerakan islah dan bab enam merupakan rumusan-rumusan penting. Sekali imbas, tajuk buku ini tidak memberi gambaran struktur cakupan tema yang dibincang. tema-tema yang diutarakan dalam setiap bab agar meluas. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa buku ini merupakan suatu himpunan makalah yang cukup sarat. Saya yakin, jika buku ini sekadar bacaan santai, ia bukan suatu pilihan yang tepat namun jika dijadikan teks perbincangan dan kupasan, ia mempunyai nilai tersendiri. Kata-kata penghantar Dr. Thaha Jabir al-Ulwani amat baik untuk dicermati dalam buku ini. Saya tertarik tentang konsep Mahdi yang beliau bentangkan. Beliau mengajak umat Islam untuk tidak berserah nasib dan menanti Imam Mahdi untuk menyelamatkan umat ini. Menurut beliau dalam hadith RasuluLlah saw yang lain ada menyebut "setiap kamu adalah pemimpin, dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya". Hadith ini memberi isyarat bahawa setiap diri-diri orang Islam punya potensi untuk memimpin, menyumbang dalam konteks dan ruang lingkup persekitaran masing-masing. Dr. Thaha menambah dalam sejarah umat ini telah lahir mujadid dan pembaharu gerak kerja umat. Dan ianya akan berterusan. Salahuddin Al-Ayubbi dan generasi yang seangkatannya yang mengembalikan Palestin ke tangan orang Islam bukan lahir secara tiba-tiba tetapi sistem, gerakan dan institusi ummah pada waktu itu telah menyumbang secara senergi,integral dan kolektif. Jadi buku ini bukan membicarakan tokoh berkenaan tetapi melihat peranan-peranan di sebalik tabir atau designernya.