Thursday, April 2, 2009

TASKI ABIM SABAH - 20 TAHUN DI BAWAH BAYU

Oleh
Abdul Manap Mahmud
Perubahan pola pendidikan dan permintaan guna tenaga dalam persaingan bebas merungkai dimensi-dimensi pendidikan tradisional. Perkembangan pendidikan prasekolah agak baru di Sabah. Ia hanya bermula lewat 1980an. Pada waktu itu taman asuhan kanak-kanak didominasi oleh pihak swasta khususnya sekolah-sekolah Cina dan Missionari Kristian. Minat ibubapa terhadap pendidikan awal kanak-kanak pada waktu itu juga, bermula apabila persaingan dalam kalangan ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka memperoleh kemahiran asas membaca, mengira dan menulis (3M) sebelum memasuki sekolah rendah. Perkembangan ini juga dapat dilihat apabila berkembangnya masyarakat kelas menengah yang terdiri dari kakitangan kerajaaan yang suami isteri bekerja. Bagi ibu bapa ini, prasekolah tidak lebih sekadar tempat persinggahan anak-anak sementara emak bapa ke pejabat masing-masing. Pada waktu itu TASKI ABIM mula beroperasi di Sabah.
Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) mula ditubuhkan di kedah pada tahun 1978, oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) negeri Kedah. Menjelang tahun 1982 kurikulum TASKI dilancarkan sempena Muktamar Sanawi ABIM Pusat di Kuala Lumpur (Mahyuddin Ashaari 2004, Abdul Halim El-Muhammady, 1982). TASKI ABIM merupakan salah satu manifestasi dari gerak kerja ABIM yang bercorak gerakan dakwah melalui pembudayaan ilmu dalam masyarakat.Menurut Mahyuddin Ashaari (2004) terdapat tiga tujuan pendidikan TASKI ABIM iaitu yang pertama adalah kerana menunai tuntutan Islam terhadap pendidikan dan kepentingannya dari aspek rohaniyah, intelektual (akal) dan jasmaniah. Tujuan yang kedua adalah untuk membangunkan tingkat perkembangan murid-murid (child development), keperluan (needs) dan yang ketiga untuk membangunkan minat semula jadi (fitrah).Silibus TASKI diubahsuai mengikut keperluan silibus prasekolah kebangsaan selepas pewartaan Akta Pendidikan 1996. Kurikulum TASKI dibina berasaskan al-Quran dan al-Sunnah, dengan merujuk kepada falsafah pendidikan Islam bagi menyuburkan nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang unggul. Tempoh masa pendidikan dalam TASKI ABIM ialah tiga jam sehari dan lima belas jam dalam seminggu. Mata pelajaran yang diajarkan adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Bahasa Arab, Seni Kreatif, Pendidikan Islam (asas fardhu ains, tauhid, fekah, sirah, akhlak), Matematik, Al-Qur’an dan Sains.

Mohd Kamil dan Rahimin (2009) menyatakan TASKI ABIM adalah terjemahan dari idealisme sebuah pertubuhan Islam kepada bentuk blueprint tindakan membangunkan modal insan. Menurut mereka lagi, TASKI ABIM amat signifikan dalam mendokong prinsip-prinsip Islam Hadhari. TASKI ABIM Sabah telah beroperasi di Kota Kinabalu sejak 1983 setahun selepas penubuhan ABIM Sabah pada tahun 1982. Selepas itu TASKI ABIM terus berkembang ke daerah-daerah lain seperti Tawau (1988), Sandakan(1988), Beaufort(1988),Ranau(1992-1997),Labuan(1992-1994),Keningau(1992) dan Kota Belud(1995).Enrolmen pelajar TASKI ABIM Sabah sejak mula beroperasi sehingga sekarang, di Kota Kinabalu (2500 orang pelajar), Tawau (2500 orang pelajar), Sandakan (1500 orang pelajar), Kota Belud (375 orang pelajar), Beaufort (420), Keningau (510).
TASKI ABIM Sabah perlu ditanggapi sebagai institusi rakyat yang berperanan untuk menjalankan tanggungjawab sosial. TASKI ABIM lahir dan diusahakan berasaskan keperluan dan tuntutan hati-nurani masyarakat yang dahagakan pendidikan prasekolah Islam di Sabah. TASKI juga perlu dilihat salah-satu agenda pengisian dalam kemerdekaan 44 tahun Sabah dalam Malaysia (Saharuddin & Muddin, 2007).

Kaji selidik rawak di TASKI ABIM Sabah Kota Kinabalu pada tahun 2008 mengenai persepsi ibu bapa terhadap TASKI ABIM secara keseluruhan menyatakan (i) TASKI ABIM mereka pilih kerana pendidikan Islam penting untuk dunia-akhirat, (ii) sukar untuk memberi pendidikan Islam di rumah, dan (iii) inginkan anak-anak soleh. Malahan melalui temubual dengan guru sebuah sekolah rendah di Kota Kinabalu pada tahun yang sama, mereka menyatakan bahawa bekas pelajar TASKI ABIM di sekolah mereka lebih matang dan mempunyai sahsiah yang baik.

Pendaftaran anak-anak ke TASKI ABIM secara keseluruhan merosot antara 20-40% menjelang tahun 2000 akibat peningkatan persaingan oleh beberapa TADIKA baru yang menawarkan pakej-pakej pendidikan yang lebih kompetatif seperti kaedah berkesan membaca, cekap matematik dan kelas intensif berbahasa Inggeris. Pola pertimbangan ibubapa mula beralih kepada kelas-kelas kemahiran segera disebabkan oleh tekanan agar anak-anak mendapat keputusan yang baik di peringkat sekolah rendah dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). TASKI ABIM diseret dalam dilema antara mengekalkan pendekatan tradisional tujuan pendidikan dan tanggungjawab sosial atau berubah mengikut tekanan semasa. Jalan keluar adalah dengan mengambil pendekatan pertengahan iaitu menggabungkan kedua-duanya tanpa mengorbankan prinsip dan tujuan pendidikan prasekolah Islam. Menjelang tahun 2006-2008 terdapat peningkatan sekitar 5-10% pelajar TASKI ABIM Sabah.

Kemampuan TASKI ABIM Sabah untuk terus diterima masyarakat selepas lebih 20 tahun di Sabah menunjukkan satu sambutan dan harapan yang baik dari masyarakat negeri ini terhadap institusi pendidikan prasekolah Islam.